KUALA LUMPUR 28 Julai – Bank Negara Malaysia (BNM) melancarkan iTEKAD Employment, satu inisiatif baharu bagi membantu individu daripada komuniti rentan mendapatkan pekerjaan lebih stabil serta meningkatkan keupayaan menjana pendapatan.
Inisiatif itu diperkenalkan sempena berlangsungnya Sasana Symposium 2026 dengan matlamat menghubungkan peserta kepada latihan kemahiran, pendidikan kewangan, bantuan penempatan pekerjaan serta penyelesaian kewangan menerusi kerjasama pelbagai pihak termasuk institusi kewangan, rakan pembiayaan, penyedia latihan dan majikan korporat.
Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, usaha mewujudkan pekerjaan berkualiti serta melengkapkan rakyat Malaysia dengan kemahiran yang diperlukan adalah penting bagi memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati secara lebih meluas.
"Kaedah paling langsung untuk rakyat merasai manfaat pertumbuhan ekonomi adalah melalui pekerjaan yang lebih baik," katanya dalam ucaptama pada acara berkenaan.
Memperluas Peranan iTEKAD Melangkaui Keusahawanan
iTEKAD Employment memperluaskan skop program sosial kewangan iTEKAD sedia ada yang sebelum ini memberi tumpuan kepada pembangunan keusahawanan dan perlindungan kewangan.
Melalui pendekatan baharu ini, peserta bukan sahaja diberi sokongan untuk meningkatkan kemahiran, malah akan dibantu mendapatkan laluan kerjaya melalui peluang pekerjaan yang disediakan oleh rakan kerjasama yang mengambil bahagian.
Di bawah program tersebut, peserta akan menerima pakej sokongan merangkumi latihan kemahiran insaniah serta aktiviti peningkatan kemahiran bagi membantu mereka lebih bersedia menghadapi keperluan pasaran pekerjaan semasa.

Mereka juga berpeluang menerima sokongan berkaitan keperluan asas seperti bantuan penginapan serta elaun bulanan atau makanan sepanjang tempoh tertentu, bergantung kepada keperluan dan pelaksanaan program.
Melahirkan Tenaga Kerja Bersedia Hadapi Perubahan Teknologi
Menurut Abdul Rasheed, walaupun pelaburan besar yang masuk ke negara ini mampu mewujudkan ribuan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, rakyat Malaysia perlu mempunyai keupayaan untuk mengisi jawatan tersebut ketika teknologi dan kecerdasan buatan (AI) mengubah landskap pekerjaan.
Beliau berkata, penciptaan pekerjaan hanyalah sebahagian daripada penyelesaian kerana rakyat juga perlu mempunyai kemahiran yang sesuai untuk merebut peluang berkenaan.
"Pada masa ini, lebih dua pertiga rakyat Malaysia masih bekerja dalam pekerjaan berkemahiran rendah atau sederhana," katanya.
Sehubungan itu, iTEKAD Employment dilihat sebagai satu usaha untuk membantu golongan sasaran meningkatkan kebolehpasaran mereka serta beralih kepada pekerjaan yang menawarkan prospek pendapatan lebih baik.
Kerjasama Institusi Kewangan Perkukuh Pelaksanaan Program
Pelaksanaan iTEKAD Employment melibatkan kerjasama antara sektor kewangan, penyedia latihan dan majikan bagi memastikan peserta menerima sokongan menyeluruh daripada peringkat latihan sehingga memasuki alam pekerjaan.
Antara institusi kewangan yang disenaraikan di bawah inisiatif itu ialah Bank Islam, Bank Muamalat, CIMB Islamic, Maybank Islamic, Public Islamic Bank, RHB Islamic Bank dan SME Bank.
Melalui gabungan latihan, bimbingan kewangan dan peluang pekerjaan, BNM berharap program itu dapat membantu lebih ramai individu daripada komuniti rentan membina kehidupan ekonomi yang lebih kukuh serta menikmati manfaat daripada pertumbuhan negara. - DagangNews.com








