Naik taraf aset The Mines kukuhkan prospek 2h26 CapitaLand - TA Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Naik taraf aset The Mines kukuhkan prospek 2h26 CapitaLand - TA Research

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 28 Julai - CapitaLand Malaysia Trust (CLMT) dijangka meneruskan momentum prestasi positif pada separuh kedua 2026 (2H26) apabila semakan kadar sewa yang memberangsangkan, penyusunan semula penyewa serta kemajuan projek naik taraf aset (AEI) dijangka terus menyokong pertumbuhan pendapatan.

 

TA Research berkata, pihak pengurusan optimis momentum semakan kadar sewa yang dicatatkan pada separuh pertama 2026 (1H26) dapat dikekalkan sehingga akhir tahun, disokong permintaan yang masih kukuh daripada penyewa dalam segmen pasar raya, makanan dan minuman (F&B) serta fesyen.

 

Menurutnya, walaupun tiada panduan khusus diberikan, asas operasi portfolio CLMT kekal teguh dengan kadar penghunian runcit mencecah 93.2% dan kadar penghunian keseluruhan portfolio sebanyak 94.4% setakat akhir Jun 2026.

 

Selain itu, semakan kadar sewa runcit sebanyak 11.6% serta peningkatan 6.4% dalam jumlah kunjungan pembeli mencerminkan daya tahan aset-aset runcit CLMT meskipun perbelanjaan pengguna masih berdepan cabaran.

 

Naik Taraf The Mines

 

mines

 

Firma penyelidikan itu berkata, antara pemacu utama prestasi pada 2H26 ialah pelaksanaan projek AEI di The Mines yang kini berjalan mengikut jadual.

 

Kerja-kerja menaik taraf itu memberi tumpuan kepada ruang menghadap terusan serta pembangunan konsep pasar baharu di Aras 1, dengan penyewa utama seperti Jaya Grocer dan MR D.I.Y. Plus telah pun memulakan operasi.

 

Pihak pengurusan menjangkakan gabungan penyewa baharu itu akan membantu meningkatkan kadar penghunian, kadar sewa serta trafik pengunjung apabila projek berkenaan siap sepenuhnya menjelang akhir 2026 atau suku pertama 2027.

 

Dalam masa sama, strategi penyusunan semula penyewa di beberapa pusat beli-belah turut dijangka menyokong pertumbuhan pendapatan, termasuk pengenalan AEON di East Coast Mall dan Jaya Grocer di The Mines yang disifatkan menawarkan konsep lebih kukuh berbanding penyewa terdahulu.

 

Segmen Perindustrian dan Logistik

Bagi segmen perindustrian dan logistik, lima kemudahan i-TechValley yang dibangunkan menerusi urus niaga pembelian hadapan turut mencatat perkembangan menggalakkan apabila pembinaan berjalan mengikut jadual dengan Sijil Siap dan Pematuhan (CCC) dijangka diperoleh pada April 2027.

 

Menurut firma penyelidikan, rundingan bersama bakal penyewa dari Malaysia, Singapura, China dan Amerika Syarikat sedang dijalankan, namun pihak pengurusan mengambil pendekatan berhati-hati bagi memastikan tarikh permulaan pajakan selaras dengan penyiapan aset.

 

Sehubungan itu, firma penyelidikan mengekalkan unjuran pendapatannya tanpa sebarang perubahan serta mengulangi saranan "Beli" terhadap CLMT dengan harga sasaran RM0.81 sesaham.

 

Katanya, penilaian tersebut berdasarkan sasaran hasil dividen sebanyak 7% daripada unjuran agihan pendapatan seunit (DPU) tahun kalendar 2027 sebanyak 5.5 sen, selain mengambil kira premium ESG sebanyak 3%.

 

"Prospek CLMT bagi 2H26 kekal positif, disokong oleh pertumbuhan kadar sewa, peningkatan kualiti penyewa dan sumbangan berterusan daripada pelaburan strategik yang dijangka memperkukuh prestasi portfolio dalam jangka panjang," katanya. - DagangNews.com