United Asiapac Energy berpeluang raih manfaat industri minyak dan gas Sarawak - MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

United Asiapac Energy berpeluang raih manfaat industri minyak dan gas Sarawak - MBSB Research

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 28 Julai – United Asiapac Energy Bhd (UAEB) bakal memanfaatkan peluang pertumbuhan dalam industri minyak dan gas di Sarawak menerusi rancangan memperluaskan kehadiran syarikat itu selepas disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia, kata MBSB Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, UAEB dijangka mendapat manfaat daripada perkembangan aktiviti minyak dan gas di Malaysia Timur, khususnya Sarawak yang didorong oleh penerokaan baharu serta peningkatan keperluan pengurusan medan minyak yang sudah lama beroperasi.

 

Menurut firma penyelidikan itu, medan minyak dan gas lama di perairan Sarawak kini mewujudkan permintaan tinggi terhadap perkhidmatan penutupan telaga (P&A).

 

“Situasi itu memberi peluang kepada UAEB kerana syarikat berkenaan memberi tumpuan kepada perkhidmatan intervensi telaga minyak termasuk kerja membaik pulih, penyelenggaraan dan memastikan keselamatan strukturnya,” kata MBSB Research dalam nota kajiannya.

 

Berdasarkan prestasi kewangan tahun 2025, Sarawak menyumbang sebanyak 34% kepada hasil UAEB, manakala Semenanjung Malaysia kekal sebagai penyumbang terbesar dengan 59%, diikuti Sabah sebanyak 7%.

 

UAEB Miliki Kedudukan Khusus Dalam Industri Minyak Dan Gas

MBSB Research turut memberikan nilai wajar sebanyak 24 sen bagi saham UAEB berdasarkan gandaan harga kepada pendapatan (PER) sebanyak 14.2 kali terhadap anggaran pendapatan sesaham sebanyak 1.7 sen bagi tahun kewangan 2027.

 

Penilaian itu lebih tinggi berbanding purata syarikat tempatan dalam sektor sama yang berada pada tujuh kali, namun masih lebih rendah berbanding pemain antarabangsa dengan purata 17.8 kali.

 

Menurut MBSB Research, premium penilaian itu mencerminkan kelebihan UAEB yang memiliki peralatan khas kerja di bawah permukaan telaga yang mengurangkan kebergantungan kepada penyewaan peralatan daripada pihak ketiga.

 

Pemilikan peralatan sendiri membolehkan UAEB mengawal kos operasi dengan lebih baik serta berpotensi meningkatkan margin keuntungan berbanding syarikat yang bergantung kepada aset sewaan.

 

Selain itu, model perniagaan UAEB yang kurang bergantung kepada hutang berbanding pemain industri lain yang memiliki aset seperti pelantar atau kapal turut menjadi faktor positif kepada penilaiannya.


Dana IPO Untuk Tingkatkan Kapasiti Operasi

UAEB memberi tumpuan kepada segmen khusus perkhidmatan telaga minyak, termasuk perkhidmatan mengeluarkan peralatan tersangkut dalam telaga, penutupan telaga (P&A) serta kerja membuat laluan telaga baharu daripada telaga sedia ada.

 

Tawaran awam permulaan (IPO) UAEB melibatkan penerbitan 139.22 juta saham baharu kepada pelabur.

 

t

 

Sebanyak 33.2% daripada hasil IPO akan digunakan untuk pembelian peralatan dan teknologi khas bagi kerja intervensi telaga, sekali gus meningkatkan keupayaan operasi syarikat.

 

Selain itu, sebanyak 15.2% diperuntukkan bagi pembangunan pejabat korporat baharu, manakala 14.6% digunakan untuk pengembangan tenaga kerja termasuk pengambilan pekerja baharu.

 

Baki dana IPO akan digunakan bagi keperluan modal kerja, pembayaran balik pinjaman bank, pengambilan jurutera serta perbelanjaan berkaitan penyenaraian.


Pasaran P&A Malaysia Dijangka Berkembang Pesat

MBSB Research berkata, pasaran perkhidmatan kerja mengeluarkan peralatan tersangkut dan penamatan telaga minyak di Malaysia dijangka berkembang kepada RM444 juta menjelang 2028 berbanding RM165 juta pada 2024.

 

Pertumbuhan itu mewakili kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 28.1%, sekali gus memberikan sokongan kukuh kepada syarikat yang beroperasi dalam segmen intervensi telaga dan pengurusan telaga lama.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan pertumbuhan keuntungan UAEB mampu mengatasi kebanyakan pesaingnya dalam industri minyak dan gas.

 

Sebagai perbandingan, pertumbuhan keuntungan pesaing antarabangsa seperti Weatherford diunjurkan sekitar 15%, Schlumberger 13% dan Uzma 12%.

 

Kelebihan Berbanding Pesaing

Walaupun pertumbuhan hasil UAEB dijangka sekitar 9.1%, MBSB Research menyifatkan angka itu selari dengan rancangan pengembangan syarikat selepas penyenaraian.

 

Menurut firma itu, keunikan UAEB terletak pada fokusnya terhadap perkhidmatan khusus, berbanding kebanyakan syarikat minyak dan gas tempatan yang mempunyai operasi lebih pelbagai.

 

"Malah, berbanding pesaingnya, UAEB mempunyai keunikan dari segi perkhidmatan khusus, manakala syarikat tempatan lain yang dianggap sebagai syarikat OGSE bersepadu mungkin terjejas oleh prestasi segmen lain dalam portfolio mereka," katanya.

 

Bagaimanapun, MBSB Research berkata pulangan ke atas ekuiti (ROE) UAEB dijangka kekal sederhana berikutan model perniagaan syarikat yang menggunakan tahap hutang lebih rendah.

 

Secara keseluruhan, UAEB dijangka mempunyai peluang pertumbuhan yang positif selepas penyenaraian, disokong peningkatan permintaan terhadap kerja penyelenggaraan dan penamatan telaga minyak, khususnya di kawasan perairan Sarawak. - DagangNews.com