KUALA LUMPUR 28 Julai - Perbicaraan petisyen gulung tikar terhadap PRG Holdings Berhad telah ditetapkan pada 28 September 2026, menurut syarikat itu dalam makluman tambahan kepada Bursa Malaysia.
Menurut PRG, pengurusan kes secara e-Review dijadualkan pada 27 Ogos, susulan syarikat itu berdepan tuntutan berjumlah RM21.219 juta yang didakwa masih belum dijelaskan.
"Syarikat telah memulakan proses melantik peguam dan firma perakaunan bagi menasihati pihak pengurusan serta Lembaga Pengarah dalam menilai kedudukan kewangan syarikat.
"Dan bagi meneroka pilihan penstrukturan semula berikutan isu potensi insolvensi yang timbul daripada petisyen tersebut," kata PRG.
Syarikat itu berkata, pempetisyen mendakwa PRG gagal membayar RM21.219 juta yang merupakan pendahuluan kepada syarikat seperti yang didedahkan dalam Laporan Tahunan 2025.
Tuntutan itu diperincikan dalam tuntutan berkanun bertarikh 30 Jun 2026 yang dikeluarkan menurut Seksyen 466(1)(a) Akta Syarikat 2016.
Makluman terbaharu itu memberikan maklumat tambahan susulan pengumuman PRG pada 24 Julai lalu bahawa syarikat telah menerima penyampaian petisyen penggulungan tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN: Ng Yan Cheng kemuka petisyen gulung tikar ke atas PRG berhubung tuntutan RM21.2 juta
Jumlah yang dituntut terdiri daripada RM8.608 juta pendahuluan yang dikenakan faedah sebanyak 6% setahun, RM11.651 juta pendahuluan tanpa faedah serta kira-kira RM960,000 faedah terakru sehingga 31 Disember 2025.
Pendahuluan berkenaan sebelum ini telah didedahkan dalam Laporan Tahunan 2025 PRG.
PRG berkata, setakat tarikh pengumuman itu, syarikat tidak menjangkakan sebarang kesan kewangan atau operasi tambahan berikutan pemfailan petisyen tersebut selain jumlah tertunggak yang dituntut.
Syarikat itu juga tidak menjangka akan menanggung sebarang kerugian tambahan akibat petisyen berkenaan selain jumlah yang dituntut, yuran guaman serta kos berkaitan. - DagangNews.com








