Bursa Malaysia dijangka berdepan momentum dagangan lebih perlahan 2H26 - CIMB Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bursa Malaysia dijangka berdepan momentum dagangan lebih perlahan 2H26 - CIMB Securities

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 28 Julai - Bursa Malaysia Bhd dijangka mencatat keuntungan bersih sebanyak RM76.7 juta bagi suku kedua berakhir Jun 2026 (2Q26), disokong oleh sumbangan berterusan daripada aktiviti dagangan ekuiti dan derivatif meskipun sentimen pasaran masih dipengaruhi ketidaktentuan ekonomi global.

 

Dalam nota penyelidikannya, CIMB Securities berkata, aktiviti dagangan di Bursa Malaysia sepanjang suku kedua kekal berdaya tahan walaupun aliran keluar dana asing berterusan, didorong oleh peningkatan aktiviti penyusunan semula portfolio dalam kalangan pelabur.

 

"Sentimen dagangan sepanjang tempoh berkenaan lebih dipengaruhi perubahan pantas antara pendekatan 'risk-on' dan 'risk-off' berikutan perkembangan dasar perdagangan global, jangkaan hala tuju dasar monetari Amerika Syarikat, pergerakan mata wang serta ketidaktentuan politik domestik," katanya dalam nota penyelidikan menjelang pengumuman keputusan kewangan Bursa Malaysia bagi 2Q26.

 

Bagi segmen derivatif, jumlah kontrak yang didagangkan meningkat 15% berbanding tempoh sama tahun lalu dan 1.6% berbanding suku sebelumnya, disokong pertumbuhan kukuh kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (FCPO).

 

Jumlah dagangan kontrak niaga hadapan FBM KLCI (FKLI) turut merekodkan peningkatan 11.9% tahun ke tahun dan 1.9% suku ke suku.

 

Momentum Dagangan Perlahan

Bagaimanapun, CIMB Securities menjangkakan momentum dagangan akan menjadi lebih perlahan pada separuh kedua 2026 (2H26), dengan purata nilai dagangan harian diunjurkan susut kepada RM2.65 bilion berbanding RM3.5 bilion yang dicatatkan pada suku kedua.

 

Sehubungan itu, firma penyelidikan tersebut menyemak turun unjuran pendapatan Bursa Malaysia bagi FY26 hingga FY28 masing-masing sebanyak 3.8%, 5.9% dan 6.3%, mengambil kira jangkaan kadar yuran penjelasan efektif yang lebih rendah, peningkatan penyertaan pelabur institusi serta kos operasi yang lebih tinggi.

 

Walaupun begitu, CIMB Securities menjangkakan pendapatan Bursa Malaysia masih berkembang 11.8% pada FY26 sebelum kadar pertumbuhan kembali sederhana kepada 1% pada FY27 dan 2.5% pada FY28.

 

Firma penyelidikan itu turut berpandangan bahawa pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti dan Niaga Hadapan Hong Kong merupakan pemangkin struktur yang positif dalam jangka panjang.

 

Menurutnya, kerjasama itu dijangka memperkukuh kesalinghubungan pasaran modal serantau serta membuka lebih banyak peluang pelaburan rentas sempadan, sekali gus menyokong prospek pertumbuhan Bursa Malaysia pada masa hadapan.

 

CIMB Securities mengekalkan saranan "Pegang" terhadap saham Bursa Malaysia, namun menurunkan harga sasaran kepada RM8.65 daripada RM9.00 selepas mengambil kira semakan turun unjuran pendapatan bagi tempoh FY26 hingga FY28.

 

Firma itu berpandangan sentimen dagangan dijangka kekal berhati-hati dalam tempoh terdekat berikutan pelabur masih cenderung mengelakkan risiko menjelang pilihan raya umum. - DagangNews.com