KUALA LUMPUR 28 Julai – Petronas menegaskan syarikat itu tidak terlibat dalam pengurusan atau penjualan tiket perlumbaan Formula 1 (F1) Grand Prix Bahrain Gulf Air di Litar Antarabangsa Sepang yang dijadual berlangsung pada 2 hingga 4 Oktober 2026.
Petronas dalam satu kenyataan menjelaskan, walaupun memegang hak penamaan Litar Antarabangsa Sepang, litar berkenaan dimiliki oleh Sepang International Circuit Sdn Bhd, sebuah syarikat di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc.).
Menurut syarikat minyak dan gas nasional itu, litar berkenaan turut dikendalikan oleh sebuah agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Jualan tiket diurus penganjur
"Petronas bukan penganjur acara itu dan tidak mengurus, mengawal atau mempunyai akses kepada peruntukan, penjualan mahupun pengedaran tiket berkaitan.
"Penjualan tiket diuruskan sepenuhnya oleh penganjur acara menerusi saluran yang dibenarkan," kata syarikat minyak negara itu.
Penjelasan itu dibuat susulan minat tinggi orang ramai terhadap penganjuran perlumbaan Formula 1 Grand Prix Bahrain Gulf Air di Sepang, yang bakal mencatat sejarah sebagai perlumbaan Formula 1 pertama dipindahkan ke negara lain selepas dibatalkan di lokasi asal.
Perlumbaan di Malaysia dijadual berlangsung di antara Grand Prix Azerbaijan dan Grand Prix Singapura dalam kalendar Formula 1 musim 2026.

Kekal berlesen FIA Gred 1
Malaysia kali terakhir menganjurkan perlumbaan Formula 1 pada 2017, namun Litar Antarabangsa Sepang terus menjadi venue tetap MotoGP serta masih memiliki lesen FIA Gred 1 yang diperlukan untuk menjadi tuan rumah perlumbaan Formula 1.
Petronas pula merupakan penaja utama pasukan Mercedes Formula 1 sejak 2010 dan memperoleh hak penamaan Litar Antarabangsa Sepang bagi tempoh tiga tahun bermula Oktober 2023.
Musim Formula 1 2026 pada asalnya dijadualkan membabitkan 24 perlumbaan, namun perlumbaan gantian di Sepang dijangka membantu memenuhi komitmen penyiaran selain menjadikan jumlah keseluruhan perlumbaan musim ini kembali kepada 22 atau 23 siri. – BERNAMA








