KUALA LUMPUR 20 Feb – Prestasi perdagangan Malaysia pada bulan Januari 2026 menunjukkan permulaan yang positif pada suku pertama (1Q) disokong oleh kitaran naik berterusan dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) serta eksport pembuatan bukan E&E yang mantap, menurut CIMB Securities.
Firma penyelidikan itu berkata kekuatan berterusan dalam segmen E&E dijangka dapat mengekalkan kestabilan ekonomi walaupun berdepan ketidaktentuan harga komoditi manakala eksport pembuatan kekal stabil.
“Eksport domestik juga kembali meningkat dengan pertumbuhan 11.3% tahun ke tahun (y-o-y) walaupun eksport semula terus mendominasi jumlah pertumbuhan.
“Bagaimanapun, import barang untuk pengeluaran seperti mesin dan komponen agak perlahan, menunjukkan walaupun permintaan dari luar negara tetap kuat, pengeluaran dalam negara mungkin sedikit berkurang dalam masa terdekat,” katanya.
Oleh itu, bank pelaburan tersebut mengekalkan ramalan pertumbuhan KDNK 2026 Malaysia pada kadar 4.5%, kerana mahu melihat isyarat yang lebih jelas mengenai prestasi ekonomi selepas musim perayaan.
Perdagangan luaran Malaysia mencatat prestasi kukuh pada Januari 2026, dengan jumlah perdagangan meningkat 12.6% y-o-y kepada RM272.37 bilion, didorong oleh lonjakan eksport yang lebih tinggi daripada jangkaan iaitu 19.6% dan pertumbuhan import yang lebih sederhana sebanyak 5.3%.
Bank pelaburan itu berkata kedua-dua eksport dan import menyusut masing-masing sebanyak 3.9% dan 4% bulan ke bulan, mengakibatkan lebihan perdagangan mengecil sedikit kepada RM21.4 bilion berbanding bulan sebelumnya (Disember 2025: RM22.1 bilion; Januari 2025: RM3.7 bilion).
Ia berkata prestasi eksport yang melebihi jangkaan terus bergantung kuat kepada sektor E&E, yang berkembang 39.5% y-o-y (Disember: 25%) kepada RM70.5 bilion.
Terdahulu, Kementerian Perdagangan, Pelaburan dan Industri (MITI) Perusahaan melaporkan bahawa prestasi perdagangan Malaysia pada Januari 2026 kekal kukuh, meningkat 12.6% y-o-y kepada RM272.37 bilion, berbanding RM241.97 bilion pada tempoh yang sama tahun lalu. – BERNAMA








