PKS Johor perlu ubah cara operasi hadapi gelombang pelaburan baharu menerusi RTS Link, JS-SEZ | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PKS Johor perlu ubah cara operasi hadapi gelombang pelaburan baharu menerusi RTS Link, JS-SEZ

MICCI Wilayah Selatan akan terus memainkan peranan dalam menghubungkan komuniti perniagaan, pemain industri serta pembuat dasar bagi memastikan perniagaan tempatan mendapat maklumat berkaitan perkembangan ekonomi Johor
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 17 Julai – Syarikat tempatan khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu bertindak pantas meningkatkan daya saing mereka bagi merebut peluang ekonomi bernilai tinggi yang bakal tercetus menerusi pembangunan RTS Link dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

 

Pengerusi Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) Wilayah Selatan, Lee Ting Kiat berkata perniagaan tempatan tidak boleh lagi terus bergantung kepada kaedah operasi lama sebaliknya perlu membuat persediaan awal menerusi pendigitalan, pensijilan yang diiktiraf serta peningkatan produktiviti.

 

Beliau berkata, perkembangan ekonomi Johor pada masa akan datang akan mewujudkan peluang baharu apabila lebih banyak pelaburan memasuki negeri itu, namun hanya perniagaan yang bersedia mampu mengambil manfaat daripada perubahan tersebut.

 

"PKS tidak boleh terus kekal beroperasi dengan cara lama. Mereka perlu bersedia untuk berubah dengan memperkukuh keupayaan digital, memperoleh pensijilan yang bersesuaian serta memanfaatkan geran dan bantuan yang disediakan kerajaan.

 

"Perniagaan yang membuat persediaan awal akan berada pada kedudukan yang jauh lebih baik apabila makin banyak pelaburan masuk ke Johor dan peluang baharu mula muncul," katanya.

 

t
Lee Ting Kiat

 

Beliau berkata demikian pada sesi dialog bertajuk "Bagaimana Infrastruktur Akan Mencorakkan Fasa Pertumbuhan Baharu Johor?" sempena Majlis Perjumpaan Bulanan MICCI Wilayah Selatan yang dianjurkan dengan kerjasama Astaka Padu Sdn Bhd.

 

RTS Link Ubah Corak Operasi Perniagaan Johor-Singapura


Menurut Lee, pembangunan RTS Link akan menjadi pemangkin penting kepada pertumbuhan Johor kerana projek itu menawarkan tahap kepastian lebih tinggi kepada komuniti perniagaan dalam merancang operasi rentas sempadan.

 

Katanya, sebelum ini perniagaan berdepan ketidakpastian tempoh perjalanan apabila berurusan dengan pelanggan, menggerakkan tenaga kerja atau melakukan perjalanan antara Johor dan Singapura akibat kesesakan di Tambak Johor.

 

"Dengan RTS Link, perniagaan kini mempunyai kepastian yang lebih tinggi dalam merancang operasi dan perjalanan rentas sempadan. Ini akan meningkatkan keyakinan pelabur serta menggalakkan lebih banyak syarikat berkembang di Johor," katanya.

 

RTS Link dijangka meningkatkan daya saing Johor menerusi sistem pengangkutan yang membolehkan pergerakan antara Johor Bahru dan Singapura menjadi lebih pantas, mudah diramal serta disokong kemudahan pemeriksaan imigresen bersepadu.

 

Kesalinghubungan yang lebih baik itu juga dijangka meningkatkan mobiliti tenaga kerja, memudahkan kerjasama antara perniagaan serta memberi keyakinan lebih tinggi kepada syarikat dalam membuat keputusan pelaburan di sepanjang koridor ekonomi Johor-Singapura.

 

t

 

JS-SEZ Perkukuh Daya Tarikan Pelaburan Johor

Sementara itu, JS-SEZ pula dijangka memperkukuh kedudukan Johor sebagai destinasi pelaburan baharu serta mempercepatkan pertumbuhan sektor perindustrian negeri.

 

Apabila lebih banyak syarikat memilih Johor sebagai lokasi untuk melabur atau mengembangkan operasi, peluang ekonomi yang terhasil dijangka memberi manfaat kepada pelbagai sektor termasuk pengilang, penyedia logistik, syarikat kejuruteraan, firma teknologi serta penyedia perkhidmatan profesional.

 

Pada masa sama, pembangunan infrastruktur perindustrian dan digital termasuk pusat data dijangka meningkatkan permintaan terhadap kontraktor, penyedia utiliti, syarikat logistik serta perniagaan sokongan lain yang membentuk ekosistem industri.

 

Namun, kesiapsiagaan infrastruktur seperti bekalan air, elektrik, pengangkutan dan kemudahan awam kekal menjadi faktor penting bagi memastikan Johor mampu menampung pertumbuhan pelaburan pada masa hadapan.

 

MICCI Wilayah Selatan berkata pihaknya akan terus memainkan peranan dalam menghubungkan komuniti perniagaan, pemain industri serta pembuat dasar bagi memastikan perniagaan tempatan mendapat maklumat berkaitan perkembangan ekonomi Johor. - DagangNews.com