KUALA LUMPUR 17 Julai - Saham Padini Holdings Bhd berpotensi mencatat penilaian semula apabila kebimbangan pelabur terhadap isu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semakin reda, menurut CIMB Securities Sdn Bhd.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan ‘BELI’ terhadap saham peruncit fesyen berkenaan dengan harga sasaran (TP) RM1.80, yang mencerminkan potensi kenaikan sebanyak 26.8% berbanding harga penutup terakhir Padini pada RM1.42.
Menurut CIMB Securities, pengumuman terbaharu Padini berkaitan perkembangan siasatan SPRM telah menghapuskan satu daripada faktor utama yang sebelum ini membebani sentimen terhadap saham syarikat.
Menurutnya, keyakinan pelabur bertambah baik selepas Padini mengesahkan semua akaun bank yang terjejas telah dinyahbekukan, selain syarikat dan anak-anak syarikatnya tidak berdepan sebarang prosiding pelucuthakan.
Padini turut memaklumkan bahawa tiada pengarah, pegawai atau pekerja syarikat ditahan atau didakwa sepanjang proses siasatan tersebut.
"Kami percaya saham Padini berpotensi dinilai semula apabila pasaran mula mengurangkan premium risiko berkaitan siasatan SPRM," katanya dalam nota penyelidikan.
CIMB Securities berkata, operasi Padini kekal berjalan seperti biasa sepanjang tempoh siasatan dengan syarikat menggunakan akaun bank yang tidak terjejas, sekali gus mengehadkan sebarang gangguan terhadap aktiviti perniagaan.
Jangkaan Hasil dan Pemangkin Positif
Dari sudut penilaian, firma itu menyifatkan saham Padini masih menarik apabila diniagakan pada nisbah 9.3 kali pendapatan unjuran tahun kalendar 2027 (CY2027 PER), lebih rendah berbanding purata lima tahun.
Selain itu, kedudukan kewangan kumpulan yang kukuh turut menjadi faktor sokongan utama dengan Padini mencatatkan tunai bersih RM905 juta pada akhir suku ketiga tahun kewangan 2026.
CIMB Securities turut menjangkakan hasil dividen Padini berada dalam lingkungan 6.5% hingga 6.8%, sekali gus menawarkan daya tarikan tambahan kepada pelabur.
Menurut firma itu, beberapa pemangkin positif yang berpotensi menyokong prestasi saham termasuk peningkatan produktiviti kedai, jualan musim perayaan yang kekal berdaya tahan serta pemulihan sentimen pelabur terhadap sektor runcit.
Bagaimanapun, risiko utama yang perlu diberi perhatian ialah kelemahan perbelanjaan pengguna serta persaingan diskaun yang semakin sengit dalam pasaran pakaian nilai rendah.
Saham Melonjak
Sementara itu saham Padini melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh empat bulan dalam dagangan pada Jumaat susulan keputusan SPRM membuka semula akaun syarikat itu yang dibekukan sebelum ini.
Saham Padini meningkat sebanyak 23 sen atau 16% kepada RM1.65, paras tertinggi sejak 25 Mac, disokong peningkatan ketara dalam jumlah dagangan.
Pada jam 9.30 pagi, saham syarikat diniagakan pada RM1.61 dengan lebih 7.5 juta saham bertukar tangan. Berdasarkan harga tersebut, Padini mencatatkan nilai pasaran sebanyak kira-kira RM1.6 bilion. - DagangNews.com








