KUALA LUMPUR 17 Julai — Pesakit Indonesia kekal penyumbang hasil terbesar kepada operasi Alpha IVF Group Berhad di Malaysia, mewakili 33% bagi tempoh sembilan bulan FY26, diikuti China dan Singapura.
Justeru TA Securities yakin kumpulan itu dijangka mencatat keuntungan bersih sehingga RM15.5 juta bagi suku keempat tahun kewangan 2026, disokong faktor peningkatan jumlah pesakit rawatan kesuburan.
Menurutnya, permintaan kukuh ke atas perkhidmatan persenyawaan in-vitro (IVF), terutama pesakit daripada China, dan operasi beberapa pusat baharu akan terus mengukuhkan prospek jangka sederhana.
Sehubungan itu, firma tersebut mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham kumpulan ini, namun menurunkan harga sasaran (TP) kepada 33 sen daripada 37 sen selepas menyemak semula unjuran hasil.
"Kami justeru menjangkakan keuntungan bersih Alpha IVF mencecah RM15.5 juta bagi 4QFY26, sedikit rendah berbanding RM16.1 juta yang pernah dicatatkan pada tempoh sama tahun lepas," jelasnya.
Ujar TA Securities, penyusutan itu berpunca daripada peningkatan perbelanjaan praoperasi, termasuk kos latihan kakitangan dan pakar embriologi, sejajar persediaan membuka beberapa pusat IVF baharu.

Bagaimanapun, kumpulan dijangka merekodkan hasil tertinggi pada suku itu, didorong peningkatan jumlah pesakit selain sumbangan dua pusat IVF baharu di Kota Kinabalu, Sabah dan Manila, Filipina.
Fasiliti itu berpotensi mencapai margin positif pada 4QFY26 sebelum mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) seawal suku berikutnya, sekali gus mengesahkan potensi model pengembangan Alpha IVF.
"Kumpulan ini menyasarkan pembukaan empat lagi pusat IVF akhir 2027, dengan ada akan beroperasi pada November 2026 dan berpotensi raih untung dalam tempoh sebulan pertama," kata TA Securities.
Pembukaan pusat di Johor ditunda ke Disember 2026 susulan kelewatan pemerolehan sijil keselamatan kebakaran daripada pihak bomba, sekali gus meningkatkan kos latihan dan pengambilan kakitangan.
TA Securities percaya pertumbuhan pesakit antarabangsa dijangka terus meningkat hasil kadar kejayaan rawatan IVF yang tinggi serta reputasi kumpulan tersebut dalam pasaran pelancongan perubatan di Asia.
"Kami mengekalkan pandangan positif kerana percaya pelaburan syarikat dalam rangkaian pusat baharu akan membuahkan hasil dan menjadi pemacu utama keuntungan," katanya. - DagangNews.com








