Fujifilm Business Innovation tingkatkan pelaburan AI bantu organisasi Malaysia beralih ke era digital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Fujifilm Business Innovation tingkatkan pelaburan AI bantu organisasi Malaysia beralih ke era digital

Malaysia turut menjadi pasaran pertumbuhan utama serta hab bagi Fujifilm Business Innovation dalam menyokong agenda transformasi digital di Asia Tenggara, khususnya menerusi penerapan teknologi baharu dalam pelbagai sektor industri
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 17 Julai – Fujifilm Business Innovation Malaysia akan meningkatkan pelaburan dalam penyelesaian berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan automasi pintar dalam tempoh lima tahun akan datang bagi membantu organisasi tempatan mempercepat transformasi digital.

 

Syarikat yang merupakan sebahagian daripada Kumpulan Fujifilm itu berkata, Malaysia kekal sebagai pasaran strategik penting dalam rangkaian Asia Pasifiknya berikutan perkembangan ekonomi digital serta keperluan perniagaan terhadap teknologi yang mampu meningkatkan produktiviti dan kecekapan operasi.

 

Malaysia turut menjadi pasaran pertumbuhan utama serta hab bagi Fujifilm Business Innovation dalam menyokong agenda transformasi digital di Asia Tenggara, khususnya menerusi penerapan teknologi baharu dalam pelbagai sektor industri.

 

Sehingga Jun 2026, Fujifilm Business Innovation Malaysia mempunyai kira-kira 450 pekerja di seluruh negara yang meliputi fungsi jualan, perkhidmatan teknikal, sokongan pelanggan, operasi dan korporat.

 

t
Naoki Hama

 

Presiden Merangkap Pengarah Perwakilan Fujifilm Business Innovation Corp, Naoki Hama berkata, pengalaman selama 60 tahun di Malaysia memberikan syarikat kelebihan dalam memahami keperluan organisasi tempatan.

 

"Selama 60 tahun, Malaysia telah menjadi sebahagian penting dalam perjalanan kami di Asia Pasifik. Kami bersyukur atas kepercayaan dan sokongan pelanggan, rakan kongsi, pekerja serta komuniti yang telah menyumbang kepada kejayaan kami.

 

"Kami akan terus berinovasi dan bekerjasama rapat dengan pelanggan serta rakan kongsi di Malaysia bagi menangani cabaran perniagaan yang sentiasa berubah dan mencipta peluang pertumbuhan baharu," katanya dalam satu kenyataan.

 

60 Tahun Evolusi Daripada Dokumen Kepada Digital

Fujifilm Business Innovation Malaysia memulakan operasinya di Malaysia pada 1966 menerusi Rank Xerox sebelum dikenali sebagai Fuji Xerox dan kemudiannya ditukar kepada Fujifilm Business Innovation pada 2021.

 

Daripada penyedia mesin penyalin dan penyelesaian dokumen, syarikat itu kini berkembang sebagai penyedia perkhidmatan digital yang membantu organisasi mengurus operasi dengan lebih cekap.

 

Antara perkhidmatan yang ditawarkan kini termasuk automasi aliran kerja, pengurusan dokumen digital, perkhidmatan teknologi maklumat (IT), penyelesaian awan, penyumberan luar proses perniagaan serta teknologi cetakan pengeluaran.

 

Sepanjang perkembangannya di Malaysia, syarikat itu turut memperkenalkan konsep "Jangan Beli-Sewa" yang mengubah pendekatan pengurusan dokumen dalam kalangan organisasi, termasuk agensi kerajaan dan syarikat besar seperti Tenaga Nasional Berhad.

 

Pada era 1980-an, pengenalan pencetak laser Xerox 4045 pula menjadi antara inovasi penting yang mengubah kaedah percetakan pejabat dari segi kelajuan, kecekapan dan kualiti.

 

t

 

Perluas Perkhidmatan Dipacu AI

Naoki berkata, gabungan pengalaman tempatan selama enam dekad dan keupayaan inovasi global membolehkan Fujifilm Business Innovation menyediakan penyelesaian teknologi yang lebih relevan kepada pasaran Malaysia.

 

"Kehadiran 60 tahun kami di Malaysia merupakan kelebihan daya saing yang ketara kerana kami telah membina hubungan jangka panjang dengan pelanggan, rakan kongsi perniagaan dan komuniti, selain memahami keperluan organisasi yang semakin berkembang," katanya.

 

Dalam tempoh lima tahun akan datang, syarikat itu akan memperluas portfolio transformasi digital menerusi teknologi seperti automasi aliran kerja, pengecaman aksara optik (OCR) berasaskan model bahasa besar (LLM), keselamatan siber dan perkhidmatan terurus.

 

Pelaburan dalam AI dan automasi pintar itu dijangka membantu organisasi mengoptimumkan operasi, mempercepat proses membuat keputusan serta meningkatkan daya saing perniagaan.

 

Selain itu, Fujifilm Business Innovation Malaysia akan memperkukuh kerjasama dengan rakan kongsi ekosistem bagi membangunkan penyelesaian bersepadu yang menyokong keperluan pelanggan, termasuk penggunaan teknologi yang lebih cekap sumber dan mampan.

 

Melangkah ke dekad ketujuh operasinya di Malaysia, Fujifilm Business Innovation kekal memberi tumpuan untuk memperkasakan organisasi tempatan menerusi teknologi inovatif bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang dalam era transformasi digital dipacu AI. - DagangNews.com