KUALA LUMPUR 17 Julai - Matrix Concepts Holdings Bhd, IOI Properties Group Bhd dan Mah Sing Group Bhd terus menjadi pilihan utama dalam sektor hartanah meskipun prospek industri dijangka lebih sederhana, menurut MBSB Research.
Firma itu mengekalkan saranan 'NEUTRAL' terhadap sektor hartanah berikutan jangkaan peningkatan kos sara hidup yang boleh menjejaskan sentimen pembelian pengguna dalam tempoh akan datang.
Menurutnya, kenaikan kos elektrik, turun naik harga bahan api serta peningkatan kos logistik dijangka memberi tekanan secara beransur-ansur kepada perbelanjaan isi rumah, sekali gus mendorong pengguna lebih berhati-hati dalam membuat komitmen kewangan.
Bagaimanapun, firma itu masih melihat peluang pelaburan secara terpilih dalam beberapa kaunter hartanah yang mempunyai asas perniagaan kukuh serta prospek pertumbuhan yang mampan.
Matrix Concepts kekal menjadi pilihan utama dengan saranan 'BELI' dan harga sasaran RM1.55, disokong jangkaan pemulihan pendapatan pada tahun kewangan 2027 (FY27), penilaian yang masih menarik serta hasil dividen yang kompetitif sekitar 5.8%.
Menurut firma penyelidikan itu, kelemahan harga saham kebelakangan ini turut membuka peluang kepada pelabur untuk mengumpul saham pada paras penilaian yang lebih menarik.
Bagi IOI Properties Group, firma itu turut mengekalkan saranan 'BELI' dengan harga sasaran RM4.64, mengambil kira potensi syarikat membuka nilai aset menerusi pengkomersilan aktif aset bukan teras.
Selain itu, cadangan penyenaraian IOIPG REIT dijangka menjadi pemangkin penting yang mampu mengukuhkan kedudukan kewangan kumpulan serta meningkatkan fleksibiliti dalam pelaksanaan strategi pertumbuhannya.
Sementara itu, Mah Sing Group turut dikekalkan sebagai pilihan dengan saranan 'BELI' dan harga sasaran RM1.25, didorong strategi syarikat yang memberi tumpuan kepada pembangunan rumah mampu milik.
Menurut MBSB, segmen tersebut terus menikmati permintaan yang kukuh, sekali gus menyokong momentum jualan Mah Sing dalam persekitaran pasaran yang lebih mencabar.
Dalam pada oti MBSB Research berkata, sentimen pembelian hartanah di Malaysia kekal stabil sepanjang lima bulan pertama 2026 (5MCY26).
Kelulusan Pinjaman
Katanya, jumlah permohonan pinjaman bagi pembelian hartanah berjumlah RM56.5 bilion pada Mei 2026, susut 10.1% berbanding bulan sebelumnya selepas mencatat pertumbuhan kukuh sebanyak 15.9% pada April.
Penyusutan itu dijkatakan berpunca daripada cuti umum dan cuti persekolahan pada Mei, namun dari sudut tahunan, permohonan pinjaman masih meningkat 0.3%, menjadikan jumlah terkumpul bagi lima bulan pertama tahun ini mencecah RM263 bilion, meningkat 1.4% berbanding tempoh sama tahun lalu.
"Ini menunjukkan minat membeli hartanah masih kekal sihat walaupun tekanan inflasi dijangka memberi kesan sederhana terhadap sentimen pembelian pada masa hadapan," katanya.
Bagaimanapun, prestasi kelulusan pinjaman masih lemah apabila jumlah pinjaman yang diluluskan merosot kepada RM24 bilion pada Mei, susut 10.7% berbanding April.
Secara tahunan, kelulusan pinjaman juga menurun 8.1%, didorong kadar kelulusan yang lebih rendah iaitu 42.6% berbanding 46.5% pada Mei 2025.
Keadaan itu menyebabkan jumlah kelulusan pinjaman terkumpul bagi lima bulan pertama 2026 susut sedikit kepada RM110.9 bilion, berikutan pendekatan institusi kewangan yang lebih berhati-hati dalam meluluskan pembiayaan. - DagangNews.com








