Berjaya Property: Pelaburan RM58 juta dalam Koridor Maritim Perlis dinilai berdasarkan unjuran untung RM16 juta setahun | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Berjaya Property: Pelaburan RM58 juta dalam Koridor Maritim Perlis dinilai berdasarkan unjuran untung RM16 juta setahun

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 17 Julai – Berjaya Property Bhd menjelaskan cadangan pelaburan RM58 juta bagi memperoleh 29% kepentingan dalam Manjaran Sdn. Bhd. dinilai berdasarkan unjuran keuntungan selepas cukai sebanyak RM16 juta setahun sepanjang tempoh 20 tahun.

 

Ini sekali gus memberi gambaran lebih jelas kepada pelabur mengenai kaedah penilaian yang digunakan bagi memasuki projek Koridor Maritim Perlis.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, pemaju hartanah itu berkata, nilai langganan berjumlah RM58 juta ditentukan berdasarkan prinsip "pembeli rela, penjual rela", selepas mengambil kira

  • prospek jangka panjang Pelabuhan Darat Perlis (PIP)

  • daya maju kewangan projek Koridor Maritim Perlis secara keseluruhan

  • gandaan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) kira-kira 19 kali

  • berdasarkan purata unjuran keuntungan selepas cukai RM16 juta setahun bagi tempoh 20 tahun.

 

Penjelasan tambahan ini melengkapkan pengumuman syarikat pada 30 Jun lalu berhubung cadangan langganan tersebut, yang akan memberi Berjaya Property pendedahan kepada sektor pelabuhan, logistik dan tenaga menerusi projek Koridor Maritim Perlis.

 

Daripada membiayai keseluruhan transaksi menerusi pinjaman bank, Berjaya Property berkata, sebahagian besar daripada nilai langganan itu akan dijelaskan melalui terbitan 206.79 juta saham baharu pada harga terbitan 28 sen sesaham.

 

Struktur pembiayaan berasaskan ekuiti itu dijangka membolehkan kumpulan mengekalkan kapasiti pinjamannya bagi memenuhi keperluan pembiayaan serta peluang pelaburan lain pada masa depan, di samping mengurangkan kesan segera terhadap aliran tunai.



ARTIKEL BERKAITAN: Berjaya Property beli 29% pegangan Manjaran bernilai RM58 juta, sertai pembangunan Koridor Maritim Perlis
 

Koridor Maritim Perlis bakal rangkumi pelabuhan dan hab tenaga

Pelabuhan Darat Perlis merupakan Fasa 1 dalam pembangunan Koridor Maritim Perlis, manakala Fasa 2 dan Fasa 3 masih di peringkat perancangan dan akan dilaksanakan secara berperingkat bergantung kepada keadaan pasaran serta permintaan masa depan bagi pengendalian kontena.

 

Projek itu turut merangkumi cadangan Pelabuhan Sanglang Perlis (PSP), yang akan dilengkapi jeti jejambat maritim sepanjang empat kilometer dengan kemudahan untuk kapal roll-on/roll-off (RoRo), pangkalan sokongan industri minyak dan gas serta terminal pengendalian kargo pukal kering dan cecair.

 

Menurut Berjaya Property, kemudahan berkenaan dijangka menjana hasil berulang menerusi bayaran dok, caj pengendalian kargo, fi perkhidmatan logistik khusus serta hasil sewaan gudang jangka panjang.

 

Koridor Maritim Perlis turut merangkumi cadangan Hab Tenaga Perlis (PPH), yang dirancang menjana sehingga 5,000 megawatt elektrik bagi memenuhi permintaan tenaga di utara Semenanjung Malaysia dan selatan Thailand, selain menyokong operasi Pelabuhan Darat Perlis dan Pelabuhan Sanglang Perlis.

 

Kesan minimum terhadap aset bersih dan penggearan

Berjaya Property berkata, cadangan langganan itu tidak dijangka memberi kesan material terhadap aset bersih (NA), tahap penggearan atau prestasi keuntungan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2027.

 

Berdasarkan pro forma, aset bersih sesaham dijangka susut sedikit kepada RM0.70 daripada RM0.72 berikutan terbitan saham baharu, manakala nisbah penggearan dijangka bertambah baik kepada 0.83 kali daripada 0.84 kali. Pada masa sama, kerugian sesaham dijangka mengecil kepada 1.98 sen berbanding 2.06 sen sebelum ini.

 

Bagi tempoh kewangan enam bulan berakhir 30 Mac 2026, Manjaran mencatatkan hasil sebanyak RM1.24 juta dan kerugian bersih yang boleh diagihkan kepada pemegang saham sebanyak RM4.57 juta, manakala jumlah pinjamannya mencecah RM353.57 juta.

 

Berjaya Property berkata, pelaburan itu dijangka mewujudkan nilai jangka panjang kepada kumpulan menerusi penyertaan dalam sektor pelabuhan, logistik dan tenaga, selain menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan apabila pembangunan dan operasi Koridor Maritim Perlis berjaya direalisasikan. - DagangNews.com