Phillip Capital unjur prospek CBH Engineering kukuh pada 2H26 selepas buku tender catat rekod RM1.3 bilion | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Phillip Capital unjur prospek CBH Engineering kukuh pada 2H26 selepas buku tender catat rekod RM1.3 bilion

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 17 Julai — Walaupun permulaan tahun ini menyaksikan perolehan kontrak CBH Engineering Holding Berhad agak perlahan, Phillip Capital melihat prospek syarikat itu sebagai semakin kukuh.

 

Penilaian ini ujarnya, susulan kejayaan buku tender kumpulan itu melonjak ke paras rekod RM1.3 bilion, sekali gus meningkatkan keterlihatan pengisian semula tempahan dan pertumbuhan pendapatan.

 

Justeru, firma itu menjangkakan momentum operasinya meningkat ketara pada separuh kedua tahun ini  dipacu kadar kejayaan bidaan semakin baik serta kerancakan pelaksanaan projek pusat data (DC).

 

"Sehubungan itu, kami mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham CBH dan harga sasaran (TP) 91 sen sesaham berikutan prospek yang akan dipacu pelaburan infrastruktur tenaga," kata Phillip Capital.

 

Menurutnya, buku tender kumpulan tersebut naik kepada RM1.3 bilion berbanding RM1 bilion pada Mei 2026, dengan kira-kira 80% daripadanya terdiri pelbagai projek DC di sekitar Johor dan Selangor.

 

Peningkatan kadar kejayaan bidaan kepada 40%, berbanding 20% sebelum ini, berpotensi membolehkan  perolehan kontrak baharu yang bernilai hingga RM500 juta daripada banyak tawaran tender sedia ada.

 

CBH Engineering_DagangNews2026

 

Phillip Capital berkata, meskipun CBH hanya meraih kontrak baharu bernilai RM60 juta setakat tahun ini, pihak pengurusannya masih lagi yakin mampu mencapai sasaran RM600 juta menjelang akhir tahun.

 

"Kami turut mengekalkan unjuran pengisian semula buku tempahan masing-masing RM700 juta, RM750 juta dan RM800 juta bagi tempoh 2026 hingga 2028, dengan keuntungan teras lebih kukuh," tambahnya.

 

Ujarnya, peningkatan bil tuntutan kemajuan projek apabila kerja pembinaan memasuki fasa aktif dijangka menyokong pertumbuhan, manakala margin dijangka kekal kukuh sekitar 15% hingga 20%.

 

Jelas Phillip Capital, kira-kira 88% daripada buku tempahan terkumpul CBH bernilai RM600 juta ketika ini terdiri projek pencawang DC, manakala selebihnya melibatkan industri, kediaman, dan tenaga.

 

Ia turut berpandangan kumpulan ini berpotensi memperluaskan pasaran secara jangka panjang apabila memajukan keupayaan projek pencawang 500kV, dianggarkan bernilai RM300 juta bagi setiap kontrak.

 

"Secara keseluruhannya, keuntungan teras mampu naik 81% pada 2026 hasil pelaksanaan pantas projek DC sedia ada namun peningkatan kos pembinaan kekal menjadi risiko utama," katanya. - DagangNews.com