Pharmaniaga wajar pantau risiko kos logistik berulang - MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pharmaniaga wajar pantau risiko kos logistik berulang - MBSB Research

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 14 Nov  – Pharmaniaga Bhd berdepan risiko lebih tinggi terhadap lonjakan kos logistik yang boleh memberi tekanan berpanjangan kepada margin jika tidak ditangani segera, menurut MBSB Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, risiko kos logistik berulang kekal wajar dipantau jika perluasan penghantaran produk di bawah Approved Products Purchase List (APPL) ke Sabah dan Sarawak berlanjutan hingga hujung tahun, dan kos peralihan daripada naik taraf logistik berterusan.

 

Menurut MBSB, keuntungan teras 3QFY25 Pharmaniaga susut ketara kepada RM5.2 juta (-95% yoy), manakala 9MFY25 turun 73% kepada RM33.9 juta. 

 

"Faktor utama yang menekan keuntungan adalah peningkatan drastik kos penghantaran udara dan laut bagi produk baharu dalam senarai APPL ke Sabah dan Sarawak," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut MBSB, kos penghantaran udara dan laut dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak kekal tinggi, khususnya bagi penghantaran pukal. 

 

Kos air freight boleh melebihi RM35/kg, manakala kos sea freight dianggarkan RM60–90 bagi setiap 0.1 cbm bergantung pada destinasi.

 

Ini menjadikan penghantaran ke Malaysia Timur seakan operasi logistik antarabangsa dari segi kos dan kerumitan. 

 

Dalam 3QFY25, penggunaan air freight yang mahal untuk produk baharu menunjukkan kemungkinan berlakunya permintaan mendesak yang menyebabkan kos tidak dapat dikawal.

 

MBSB memberi amaran bahawa kos ini boleh berulang sekiranya pengembangan APPL di Malaysia Timur berterusan sehingga akhir tahun, proses naik taraf logistik masih melalui fasa peralihan dan struktur penghantaran kekal bergantung kepada mod udara bagi pemenuhan pantas.

 

Katanya, berikutan pencapaian yang lebih rendah daripada jangkaan, unjuran pendapatan FY25–FY28 disemak turun sebanyak -30% / -9% / -5% / -1%. 

 

Sasaran harga baharu ditetapkan pada RM0.30, berasaskan PER 13.5x kepada EPS26 yang disemak kepada 2.2 sen.

 

Walaupun komersialisasi bioperubatan pada FY26 dijangka meningkatkan margin segmen pembuatan, kos logistik kini menjadi risiko utama yang boleh menjejaskan pemulihan kumpulan. - DagangNews.com