Kos pembesaran projek Lynas di Malaysia melonjak kepada RM843.8 juta berbanding RM516 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kos pembesaran projek Lynas di Malaysia melonjak kepada RM843.8 juta berbanding RM516 juta

KUALA LUMPUR 22 Julai - Lynas Rare Earths Ltd memberi amaran kos projek pembesaran loji pemprosesan unsur nadir bumi berat (HRE) di Malaysia dijangka meningkat kepada hampir A$294 juta dollar Australia (RM843.8 juta) berbanding A$180 (RM516 juta) juta sebelum ini.

 

Kebimbangan itu menyusul selepas pengeluar unsur nadir bumi dari Australia itu melaporkan hasil suku keempat yang tidak mencapai jangkaan penganalisis, sekali gus menyebabkan saham syarikat itu menjunam lebih 9%.

 

Peningkatan kos itu mencerminkan cabaran yang terus dihadapi pengeluar unsur nadir bumi di negara Barat dalam membangunkan rantaian bekalan alternatif di luar China, lapor agensi berita Reuters.

 

Lynas berkata, fasa seterusnya projek tersebut ialah memulakan pengeluaran gadolinium pada awal tahun kewangan 2028, diikuti yttrium pada awal tahun kalendar 2028 sebelum pengeluaran lutetium.

 

Susulan pengumuman itu, saham Lynas merosot sehingga 9.1% kepada A$14.51, paras terendah sejak 6 Februari lalu, sekali gus menjadi kaunter berprestasi paling lemah dalam indeks penanda aras S&P/ASX 200 Bursa Australia, yang meningkat 0.1%.

 

Walaupun berdepan peningkatan kos projek, Lynas mencatatkan hasil jualan suku tahunan tertinggi dalam tempoh empat tahun, disokong oleh insentif yang membantu meningkatkan harga unsur nadir bumi bagi pengeluar di luar China.

 

Hasil Jualan Meningkat

Dalam satu kenyataan, syarikat itu berkata pelanggan terus memberi tumpuan untuk mendapatkan rantaian bekalan yang mampan di luar China berikutan ketegangan geopolitik dan sekatan eksport.

 

"Hasil jualan suku tahunan meningkat hampir 70% kepada A$288.9 juta, namun masih kira-kira 20% lebih rendah daripada anggaran konsensus Visible Alpha.

 

"Purata harga jualan turut meningkat kepada A$98.20 sekilogram berbanding A$60.20 sekilogram pada tempoh sama tahun lalu," katanya.

 

Bagaimanapun, prestasi jualan yang lebih rendah daripada jangkaan telah mengatasi kesan positif daripada kenaikan harga jualan.

 

Menurut Lynas, isu kualiti bijih di lombong Mt Weld di Australia Barat turut menjejaskan pengeluaran syarikat.

 

Jumlah pengeluaran oksida unsur nadir bumi meningkat kepada 3,481 tan metrik berbanding 3,212 tan metrik pada tahun sebelumnya, namun angka itu masih sekitar 10% di bawah jangkaan konsensus Visible Alpha, menurut firma penyelidikan Jefferies.

 

Prospek pasaran unsur nadir bumi kekal disokong permintaan daripada sektor tenaga boleh diperbaharui, kenderaan elektrik dan pertahanan, namun pengeluar di luar China masih berdepan cabaran daripada kos pembangunan yang tinggi serta usaha membina rantaian bekalan yang lebih berdaya tahan. - DagangNews.com