Segmen aeroangkasa pacu prestasi pertumbuhan AGX Group pada 2HFY26 - Mercury Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Segmen aeroangkasa pacu prestasi pertumbuhan AGX Group pada 2HFY26 - Mercury Securities

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 22 Julai - Bahagian logistik aeroangkasa dijangka menjadi pemacu utama pertumbuhan AGX Group Bhd pada separuh kedua tahun kewangan 2026 (2HFY26), disokong oleh sumbangan hasil daripada tiga kontrak perkhidmatan baharu yang diperoleh syarikat dengan Malaysia Airlines Berhad, VietJet Air dan Sun PhuQuoc Airways.

 

Mercury Securities berkata, pelaksanaan kontrak tersebut dijangka memperkukuh prestasi segmen logistik aeroangkasa sekali gus menjadi pemangkin utama pertumbuhan kumpulan dalam tempoh terdekat, walaupun persekitaran ekonomi global masih dibayangi ketidaktentuan geopolitik dan perubahan dasar perdagangan.

 

Menurut firma penyelidikan itu, AGX mengekalkan prospek yang berhati-hati tetapi optimis bagi baki FY2026, disokong unjuran pertumbuhan ekonomi global sebanyak 3.1% serta momentum perdagangan yang secara keseluruhannya stabil di rantau Asia Pasifik.

 

Di Malaysia, keadaan makroekonomi dijangka terus berdaya tahan dengan pertumbuhan ekonomi diunjurkan sekitar 4.8% hingga 5.2%, manakala inflasi dijangka berada pada purata 1.5% hingga 2%, hasil sokongan permintaan domestik yang mampan dan aktiviti pelaburan yang berterusan.

 

"Selain kontrak baharu, permintaan daripada AirAsia juga dilaporkan kembali pulih susulan operasi syarikat penerbangan itu kembali normal," katanya dalam nota kajian hari ini

 

Mercury Securities berkata, pihak pengurusan memberitahu hubungan komersial dengan AirAsia kekal kukuh memandangkan AGX mempunyai rekod kerjasama yang panjang dengan syarikat penerbangan tersebut, termasuk menyediakan sokongan sepanjang tempoh pandemik COVID-19.

 

Di peringkat serantau, Filipina masih menjadi antara penyumbang utama kepada pendapatan AGX.

 

Bagaimanapun, Malaysia dan Vietnam kini mencatat kadar pertumbuhan yang lebih pantas dan dijangka menjadi penyumbang yang semakin penting kepada prestasi kumpulan.

 

Margin Keuntungan Bertambah Baik

Menurut Mercury Securities, Vietnam khususnya merekodkan pertumbuhan hasil yang memberangsangkan, namun strategi penembusan pasaran menerusi penawaran harga yang lebih kompetitif menyebabkan margin keuntungan buat masa ini masih lebih rendah.

 

"Margin dijangka bertambah baik dalam tempoh sederhana apabila jumlah perniagaan meningkat dan hubungan dengan pelanggan menjadi lebih kukuh," katanya.

 

Walaupun berdepan cabaran seperti ketidaktentuan geopolitik, turun naik kadar pertukaran asing dan perubahan dasar perdagangan global, firma itu percaya AGX berada pada kedudukan baik untuk mencatat prestasi kewangan yang memuaskan bagi FY2026.

 

Keyakinan itu disokong oleh sumber pendapatan yang pelbagai, peluasan operasi di pasaran utama ASEAN serta tumpuan berterusan terhadap kecekapan operasi dan kerjasama strategik.

 

Sehubungan itu, firma penyelidikan berkenaan mengekalkan unjuran keuntungan AGX bagi FY2026 dan FY2027 masing-masing pada RM14.7 juta dan RM16 juta, tanpa sebarang perubahan. Andaian margin keuntungan kasar (GP) juga dikekalkan pada 24.2%.

 

Dari sudut penilaian, harga sasaran (TP) dikekalkan pada RM0.48 sesaham berdasarkan gandaan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) sebanyak 13 kali.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pihaknya tidak membuat sebarang perubahan terhadap gandaan penilaian berikutan faktor makroekonomi yang masih tidak menentu serta ketidaktentuan pasaran yang berterusan.

 

"Oleh itu, kami mengekalkan saranan 'PEGANG' terhadap saham AGX buat masa ini," katanya. - DagangNews.com