KUALA LUMPUR 22 Julai – Pemilik kenderaan yang mengalami kerosakan akibat banjir kilat boleh mendapatkan ganti rugi daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) sekiranya kejadian itu dapat dibuktikan berpunca daripada kecuaian pihak berkenaan.
Ketua Pegawai Operasi Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Nur Asyikin Aminuddin berkata, pengguna perlu mempunyai bukti yang menunjukkan terdapat kegagalan PBT dalam melaksanakan tanggungjawab penyelenggaraan sebelum sebarang tuntutan boleh dibuat.
Menurut beliau, kejadian banjir tidak boleh dijadikan alasan tunggal untuk menuntut pampasan kerana bencana itu boleh berlaku disebabkan faktor semula jadi seperti hujan lebat luar biasa dan perubahan iklim.
Katanya, tuntutan terhadap PBT lebih kukuh sekiranya kerosakan kenderaan berpunca daripada masalah yang berada di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan.
“Antara keadaan yang boleh dipertimbangkan termasuk sistem perparitan yang gagal diselenggara dengan baik, longkang tersumbat menyebabkan limpahan air atau pokok di kawasan awam yang tumbang akibat tidak diselenggara.
“Bagi kes pokok tumbang, pemilik kenderaan perlu membuktikan kenderaan diletakkan di kawasan yang dibenarkan serta terdapat kegagalan pihak berkuasa menjalankan penyelenggaraan yang sepatutnya,” katanya, lapor Kosmo!.
Nur Asyikin berkata, pengguna yang mahu mengemukakan tuntutan perlu menyimpan semua bukti berkaitan termasuk gambar kejadian, laporan polis, laporan bomba jika ada serta resit pembaikan kenderaan.
Beliau berkata, dokumen berkenaan penting bagi menyokong tuntutan dan menunjukkan kaitan antara kerosakan yang berlaku dengan faktor yang didakwa berpunca daripada kecuaian pihak bertanggungjawab.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan pemilik kenderaan supaya mempertimbangkan perlindungan tambahan insurans susulan peningkatan kejadian bencana alam berkaitan cuaca.
Menurut beliau, perlindungan Special Perils yang ditawarkan dalam polisi insurans kenderaan boleh membantu pemilik mendapatkan pampasan bagi kerosakan akibat banjir, tanah runtuh, ribut dan kejadian alam lain.
Beliau berkata, perubahan iklim menyebabkan kejadian cuaca ekstrem semakin kerap berlaku, sekali gus menjadikan perlindungan tambahan sebagai langkah penting untuk mengurangkan risiko kerugian kewangan.
Sehubungan itu, pengguna disaran menyemak semula perlindungan insurans kenderaan masing-masing dan memahami terma polisi bagi memastikan mereka mempunyai perlindungan yang sesuai sekiranya berlaku kejadian tidak dijangka. - DagangNews.com








