Samenta gesa reformasi kurangkan kerenah birokrasi diperluas ke PBT, badan berkanun bagi mudahkan urusan PKS | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Samenta gesa reformasi kurangkan kerenah birokrasi diperluas ke PBT, badan berkanun bagi mudahkan urusan PKS

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 22 Julai – Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) menggesa kerajaan memberi tumpuan kepada isu birokrasi di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan berkanun bagi memastikan manfaat peningkatan daya saing negara dapat dirasai secara langsung oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

 

Presiden Samenta, Datuk William Ng berkata, walaupun Malaysia mencatat peningkatan terbaik dalam tempoh lebih sedekad menerusi Indeks Daya Saing Dunia IMD, cabaran berkaitan proses pentadbiran di peringkat tempatan masih menjadi antara isu utama yang membebankan perniagaan.

 

Beliau berkata hasil tinjauan yang dijalankan mendapati PKS masih berdepan masalah berkaitan tempoh pemprosesan lesen, permit dan pembaharuan kelulusan yang tidak menentu.

 

Katanya, penguatkuasaan yang tidak konsisten serta proses kelulusan yang berbeza-beza antara satu kawasan dengan kawasan lain menyebabkan peningkatan kos operasi dan mewujudkan ketidakpastian kepada pemain industri.

 

“Langkah untuk menangani isu birokrasi perlu memberi tumpuan kepada PBT dan badan berkanun supaya proses pematuhan perniagaan dapat dipermudah serta dilaksanakan secara lebih cekap dan seragam,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Pelaburan asing perlu perkasa rantaian bekalan tempatan

Dalam masa sama, beliau berkata Samenta melihat peningkatan pelaburan asing langsung (FDI), khususnya dalam sektor teknologi tinggi sebagai peluang besar untuk meningkatkan keupayaan industri tempatan.

 

“Bagaimanapun, kemasukan pelaburan asing perlu memastikan PKS tempatan turut mendapat manfaat melalui penyertaan dalam rantaian bekalan syarikat multinasional.

 

“Samenta mencadangkan supaya projek berskala besar yang masuk ke Malaysia mempunyai sasaran sekurang-kurangnya 40% sumber rantaian bekalan domestik bagi menggalakkan penggunaan pembekal tempatan.

 

“Pendekatan itu dapat memastikan pelaburan asing bukan sahaja memberi manfaat kepada syarikat besar, malah membantu meningkatkan kapasiti PKS serta mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan dalam negara,” katanya.

 

t
Datuk William Ng

 

Nexus Produktiviti perlu diperkasa untuk bantu PKS

Selain itu, Samenta menyifatkan usaha Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) menerusi Nexus Produktiviti sebagai antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan daya saing negara.

 

Persatuan itu mencadangkan supaya Nexus Produktiviti dikembangkan sebagai unit pelaksanaan yang menghubungkan agensi kerajaan dengan persatuan perdagangan bagi menyediakan inisiatif pendigitalan dan automasi secara pembiayaan bersama untuk perusahaan mikro dan kecil.

 

Beliau berkata, pendekatan itu mampu membantu PKS meningkatkan produktiviti, mempercepatkan penggunaan teknologi serta mengukuhkan daya saing dalam persekitaran perniagaan yang semakin mencabar.

 

Reformasi birokrasi dorong lonjakan daya saing Malaysia

Dalam pada itu, Samenta berkata, peningkatan Malaysia ke kedudukan ke-15 daripada 70 ekonomi dalam indeks tersebut dengan melonjak lapan anak tangga, menunjukkan hasil positif daripada kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta.

 

Katanya, pencapaian itu berlaku ketika ekonomi global masih berdepan ketidaktentuan, namun Malaysia berjaya menunjukkan daya tahan serta keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan rantaian bekalan dunia.

 

Menurutnya, pengurangan proses birokrasi menerusi inisiatif Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) dan pelaksanaan Akta Iltizam membantu meningkatkan beberapa komponen utama daya saing negara.

 

Antaranya, kedudukan Malaysia bagi aspek Kecekapan Kerajaan meningkat 11 anak tangga kepada tempat ke-14 dunia, manakala Kecekapan Perniagaan melonjak 16 anak tangga kepada kedudukan ke-16 dunia.

 

Selain itu, aspek masa untuk memulakan perniagaan meningkat 38 anak tangga kepada tempat ke-15 dunia, sementara komponen Perundangan Perniagaan naik 29 anak tangga kepada kedudukan keenam dunia apabila proses kawal selia menjadi lebih jelas dan tersusun.

 

Samenta berkata, pencapaian itu adalah kemenangan bersama rakyat Malaysia, namun usaha reformasi masih perlu diteruskan bagi memastikan setiap perniagaan mempunyai ruang dan sokongan untuk bersaing di peringkat global. - DagangNews.com