CelcomDigi dijangka catat keuntungan mendatar pada 2Q26 - Phillip Capital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CelcomDigi dijangka catat keuntungan mendatar pada 2Q26 - Phillip Capital

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 22 Julai - Phillip Capital menjangkakan CelcomDigi Bhd merekodkan keuntungan bersih teras yang hampir mendatar bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026 (2Q26), iaitu sekitar RM440 juta hingga RM445 juta dalam persekitaran persaingan harga yang masih sengit.

 

Firma penyelidikan itu berkata, prestasi tersebut dijangka lebih tinggi berbanding keuntungan RM417 juta yang dicatatkan pada suku pertama 2026 (1Q26) dan hampir setanding dengan RM437 juta yang direkodkan pada suku sama tahun lalu.

 

Menurutnya, momentum pertumbuhan pendapatan syarikat dalam tempoh terdekat masih dibatasi oleh tekanan terhadap purata hasil setiap pengguna (ARPU), khususnya dalam segmen pascabayar.

 

"ARPU prabayar dijangka kekal stabil pada sekitar RM28 hingga RM29, manakala ARPU pascabayar susut kepada RM60 pada 1Q26 berbanding RM62 pada 4Q25 dan RM64 pada 1Q25.

 

"Keadaan ini mengehadkan ruang untuk peningkatan ARPU dalam tempoh terdekat meskipun persekitaran harga dilihat lebih stabil," katanya dalam nota penyelidikan.

 

Bagaimanapun, Phillip Capital menjangkakan segmen gentian optik rumah (home fibre) terus menjadi pemacu pertumbuhan dengan hasil dijangka berkembang pada kadar dua digit.

 

Katanya, prestasi itu disokong oleh peningkatan penggunaan pakej bersepadu (convergence), penawaran pelan yang lebih menarik serta pengembangan saluran pengedaran, selain permintaan yang kekal kukuh terhadap pelan gentian bernilai sederhana hingga tinggi.

 

Unjuran Pendapatan FY-26-FY28

Dalam pada itu, Phillip Capital mengurangkan unjuran pendapatan CelcomDigi bagi tempoh 2026 hingga 2028 sebanyak 6% hingga 8% selepas mengambil kira potensi pengiktirafan bahagian kerugian daripada pegangan 33.3% syarikat dalam Digital Nasional Bhd (DNB).

 

Katanya, walaupun keterlihatan prestasi kewangan DNB masih terhad dengan kerugian sekitar RM1.2 bilion yang dilaporkan bagi 2024, pihaknya menjangkakan kerugian itu akan berkurangan secara berperingkat sehingga kira-kira 50% menjelang 2028 berikutan peningkatan kecekapan operasi dan pengoptimuman rangkaian.

 

"CelcomDigi dijangka mula mengiktiraf bahagian kerugian DNB melalui kaedah perakaunan ekuiti bermula separuh kedua 2026," katanya.

 

Sementara itu, Phillip Capital berkata pihak pengurusan CelcomDigi mengekalkan panduan prestasi bagi tahun kewangan 2026 dengan sasaran pertumbuhan hasil perkhidmatan pada kadar rendah satu digit, pertumbuhan keuntungan sebelum faedah dan cukai (EBIT) pada kadar rendah hingga pertengahan satu digit serta intensiti perbelanjaan modal antara 12% hingga 13%.

 

Bagaimanapun firma itu mengunjurkan hasil syarikat berkembang sederhana sekitar 1% hingga 2% setahun bagi tempoh 2026 hingga 2028.

 

Keuntungan bersih pula dijangka meningkat 12% pada 2026 berikutan kadar cukai efektif yang lebih rendah kepada 25% berbanding 27% pada 2025, sebelum berkembang masing-masing 7% pada 2027 dan 9% pada 2028 hasil realisasi sinergi pasca penggabungan serta peningkatan kecekapan operasi.

 

Harga Sasaran Diturunkan

Sehubungan semakan unjuran pendapatan itu, Phillip Capital menurunkan harga sasaran 12 bulan berasaskan kaedah diskaun aliran tunai (DCF) kepada RM3.17 sesaham daripada RM3.31 sebelum ini, namun mengekalkan saranan "PEGANG" terhadap saham CelcomDigi.

 

Menurutnya, kedudukan CelcomDigi sebagai pengendali mudah alih terbesar negara serta potensi sinergi pasca penggabungan kekal menjadi faktor sokongan jangka panjang.

 

"Bagaimanapun, peningkatan ARPU dijangka terus terhad akibat persaingan harga yang sengit, manakala perkembangan DNB yang lebih perlahan daripada jangkaan serta kemungkinan komitmen modal tambahan boleh memberi tekanan kepada kelestarian dividen dan mengehadkan potensi kenaikan harga saham," katanya. - DagangNews.com