KUALA LUMPUR 22 Julai - Pembinaan projek jalan raya Fasa 1 Miri-Marudi, Marudi-Mulu (Kuala Melinau), Long Panai-Long Lama (MMMLL) berjalan lancar dengan kemajuan kerja kini berada antara 10% hingga 15% lebih awal daripada jadual.
Pihak Berkuasa Pembangunan Koridor Wilayah (Recoda) berkata, mesyuarat kemajuan bulanan yang diadakan baru-baru ini diikuti dengan lawatan tapak bagi menilai perkembangan terkini serta memastikan projek terus mengikut jadual.
Kerja-kerja yang sedang dilaksanakan termasuk pembinaan tambakan tanah, rawatan tanah, pemasangan pembetung, pembinaan sistem saliran dan pelbagai kerja kritikal lain bagi kedua-dua pakej projek.
Pakej 1 melibatkan pembinaan sepanjang 68 kilometer (km), merangkumi jajaran Miri-Marudi dan Long Panai-Long Lama.
Skop kerja bagi pakej ini meliputi:
Jalan bertaraf JKR R5 sepanjang 42km yang menghubungkan Persimpangan Eastwood Valley di Miri dengan Persimpangan Stadium Marudi. Jalan ini direka lebih lebar bagi menampung jumlah trafik, muatan kenderaan dan kelajuan yang lebih tinggi.
Jalan bertaraf JKR R3 yang menghubungkan Long Panai dan Long Lama, bagi memenuhi keperluan trafik tempatan.
Empat jambatan utama, lapan jambatan kecil, jalan cabang ke rumah panjang serta kerja-kerja menaik taraf di Rumah Chabop.

Pakej 2 pula melibatkan pembinaan jalan sepanjang 74km dari Marudi ke Mulu (Kuala Melinau).
Jajaran ini akan dibina mengikut piawaian JKR R3 serta turut merangkumi pembinaan 18km jalan cabang bertaraf JKR R1, iaitu jalan luar bandar yang lebih kecil bagi menghubungkan kawasan penempatan terpencil.
Menurut Recoda, mesyuarat kemajuan dan pemeriksaan tapak yang diadakan secara berkala membolehkan agensi itu memantau pelaksanaan projek dengan lebih dekat, menyelesaikan sebarang isu dengan segera serta memastikan infrastruktur strategik tersebut disiapkan mengikut jadual.
"Projek ini akan meningkatkan kesalinghubungan dan menyokong pertumbuhan sosioekonomi di utara Sarawak," katanya.
Projek RM3.8 bilion
Projek MMMLL bernilai RM3.8 bilion yang dilaksanakan oleh Recoda menerusi Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) merupakan antara projek infrastruktur terbesar yang pernah dibangunkan di kawasan pedalaman Sarawak.
Jajaran utama projek itu meliputi 142km, dengan tambahan 33km jalan cabang, menjadikan keseluruhan rangkaian jalan sepanjang kira-kira 175km.
Pembinaan projek dibahagikan kepada dua pakej dengan tempoh pelaksanaan selama 48 bulan dan dijadual siap sepenuhnya pada 2030.
Projek tersebut telah dilancarkan secara rasmi oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Kawasan Perindustrian Ringan Marudi pada 15 November tahun lalu.
Apabila siap kelak, rangkaian jalan baharu itu dijangka memendekkan masa perjalanan dengan ketara.
Perjalanan dari Miri ke Marudi dijangka hanya mengambil masa kira-kira 30 minit berbanding satu jam 40 minit ketika ini, manakala perjalanan dari Marudi ke Mulu (Kuala Melinau) dianggarkan mengambil masa sekitar 90 minit dan dari Long Panai ke Long Lama kira-kira 60 minit.
Selain meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya, projek itu juga dijangka memudahkan akses ke Taman Negara Mulu yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, di samping memperkukuh hubungan dengan Jalan Penghubung Sarawak-Sabah, sekali gus memberi manfaat kepada penduduk, sektor perniagaan dan industri pelancongan. - DagangNews.com








