7-Eleven Malaysia lantik Lee Cheng-Chiang anggotai Lembaga Pengarah, wakili pemegang saham utama Classic Union Group | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

7-Eleven Malaysia lantik Lee Cheng-Chiang anggotai Lembaga Pengarah, wakili pemegang saham utama Classic Union Group

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 22 Julai – 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd melantik Lee Cheng-Chiang sebagai Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif baharu untuk memperkukuhkan kepakaran lembaga pengarah syarikat menerusi pengalaman luas beliau dalam strategi korporat, kewangan dan teknologi.

 

Pelantikan Lee dijangka memberi nilai tambah kepada 7-Eleven berdasarkan pengalaman profesional beliau selama lebih 25 tahun merentasi sektor perkhidmatan kewangan, pasaran modal, operasi perniagaan serta transformasi digital di rantau Asia.

 

Lee, 50, memiliki Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam Hubungan Antarabangsa daripada Boston University, Amerika Syarikat. Beliau turut pernah mengikuti pengajian dalam bidang Biokimia dan Biologi Molekul di universiti sama.

 

Pengalaman Luas Dalam Kewangan Dan Pasaran Modal

Sebelum menyertai sektor korporat, Lee membina kerjaya dalam industri kewangan global menerusi beberapa institusi kewangan antarabangsa termasuk Nomura Securities, Deutsche Bank dan HSBC.

 

Sepanjang tempoh tersebut, beliau terlibat dalam bidang produk ekuiti institusi, pasaran modal, penyelesaian perbankan serta teknologi perniagaan selain memberi khidmat nasihat kepada pelabur institusi dan syarikat multinasional di seluruh rantau Asia.

 

Pengalaman itu memberikan beliau pendedahan luas dalam mengurus strategi pelaburan, pembangunan perniagaan serta keperluan operasi syarikat berskala besar yang beroperasi merentasi pelbagai negara.

 

Menerajui Perkembangan Perniagaan Dan Transformasi Digital

Selepas beralih ke sektor korporat, Lee dilantik sebagai Naib Presiden Kewangan Dan Strategi Antarabangsa) di Tagboard Inc, sebuah syarikat yang menyaksikan beliau memainkan peranan dalam membangunkan operasi syarikat di Taiwan dan Jepun.

 

Beliau turut mengetuai beberapa inisiatif kutipan dana serta strategi pengembangan serantau bagi menyokong pertumbuhan perniagaan syarikat tersebut.

 

Lee kemudiannya memegang jawatan Pengurus Besar di Rainforest Retail, dengan tanggungjawab mengurus penyusunan semula korporat, penambahbaikan operasi serta pelaksanaan program pemodenan teknologi.

 

Bawa Kepakaran Strategik Ke Dalam Lembaga 7-Eleven Malaysia

Pada masa ini, Lee berkhidmat sebagai perunding kepada Cathay Financial Holdings, dengan memberi pandangan strategik berkaitan pelaburan serantau, pembangunan perniagaan dan inisiatif transformasi digital.

 

Pelantikan beliau ke dalam lembaga pengarah 7-Eleven Malaysia dibuat sebagai calon yang dicadangkan oleh Classic Union Group Ltd, iaitu pemegang saham utama syarikat berkenaan.

 

Dengan latar belakang dalam kewangan, strategi perniagaan dan teknologi, kehadiran Lee dijangka membantu lembaga pengarah 7-Eleven Malaysia dalam memperkukuhkan hala tuju pertumbuhan syarikat serta menghadapi perubahan landskap industri peruncitan yang semakin dipacu oleh pendigitalan. - DagangNews.com