UPM himpunkan pakar-pakar Malaysia, Thailand, Vietnam, Indonesia bincang masa depan industri durian | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

UPM himpunkan pakar-pakar Malaysia, Thailand, Vietnam, Indonesia bincang masa depan industri durian

Gambar Universiti Putra Malaysia
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 22 Julai – Universiti Putra Malaysia (UPM) menghimpunkan pakar, penyelidik dan pemain industri dari Malaysia, Thailand, Vietnam dan Indonesia menerusi Seminar Antarabangsa Durian 2026 (IDS2026) bagi membincangkan hala tuju penyelidikan, inovasi dan pembangunan industri durian yang semakin berkembang sebagai komoditi hortikultur bernilai tinggi di rantau ini.

 

Seminar anjuran Persatuan Alumni Universiti Putra Malaysia (PAUPM) itu menjadi platform kepada ahli akademik dan penggiat industri berkongsi perkembangan terkini dalam teknologi penanaman, pengurusan ladang, kawalan penyakit, inovasi pascatuai, pemprosesan hasil serta strategi memperluaskan pasaran eksport.

 

Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UPM, Prof. Dr. Shamsul Bahri.

 

Pengerusi seminar, Dr. Aziz Zakaria berkata, IDS2026 diadakan bagi memperkukuh hubungan antara penyelidik, industri dan pengusaha durian dalam usaha mempercepat pemindahan ilmu, teknologi serta amalan terbaik yang mampu meningkatkan daya saing industri.

 

Menurut beliau, penyertaan pakar dari beberapa negara pengeluar utama durian di rantau ini turut membuka ruang kepada pertukaran pengalaman dan kerjasama penyelidikan yang boleh memberi manfaat kepada pembangunan industri negara.

 

UPM perkukuh peranan sebagai pusat penyelidikan pertanian

Pensyarah Kanan Fakulti Pertanian UPM, Dr. Mohd Firdaus Ismail berkata, penganjuran seminar itu mencerminkan komitmen universiti untuk terus memainkan peranan sebagai institusi rujukan dalam penyelidikan dan pembangunan industri durian.

 

Katanya, durian merupakan antara komoditi hortikultur yang mempunyai potensi ekonomi tinggi, justeru penyelidikan, pembangunan teknologi dan pembangunan modal insan perlu terus diperkasakan bagi memastikan industri berkembang secara mampan.


 

solar

 


"UPM mempunyai kekuatan dalam bidang pertanian dan perlu terus berada di barisan hadapan dalam menyokong pembangunan industri durian menerusi pendidikan, latihan serta aktiviti penyelidikan dan pembangunan," katanya.

 

Beliau berkata, usaha itu bukan sahaja dapat meningkatkan produktiviti dan kualiti pengeluaran, malah membantu mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai antara pengeluar durian berkualiti tinggi di pasaran antarabangsa.

 

Selain pembentangan teknikal, IDS2026 turut menampilkan pameran hampir 54 varieti durian tempatan yang memberi peluang kepada peserta mengenali kepelbagaian varieti serta potensi komersial setiap satunya menerusi perkongsian penyelidik dan pengusaha.

 

Seminar itu turut mendapat sokongan Presiden Persatuan Alumni UPM, Norashedy Ab. Rashid serta mantan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, YAM Tengku Sharif Laksamana Perlis, Dato' Seri Diraja Syed Razlan Syed Putra Jamalullail bersama alumni UPM yang lain.

 

Penganjur berharap seminar berkenaan menjadi pemangkin kepada lebih banyak kerjasama rentas negara dalam bidang penyelidikan, inovasi dan pengkomersialan teknologi, sekali gus memperkukuh daya saing industri durian Malaysia di peringkat serantau dan global. - DagangNews.com