Pestec mohon pengecualian status PN17 daripada Bursa Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pestec mohon pengecualian status PN17 daripada Bursa Malaysia

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 19 Ogos – Pestec International Berhad memohon pengecualian status syarikat bermasalah di bawah Nota Amalan 17 (PN17) daripada Bursa Malaysia susulan isu kedudukan pemegang saham yang diaudit syarikat kepada separuh atau kurang daripada modal saham diterbitkan setakat 31 Mac 2025.


Syarikat berkenaan menambah, beberapa langkah telah diambil bagi mengukuhkan kedudukan kewangannya dan memastikan kumpulan itu tidak lagi diklasifikasikan secara rasmi dalam senarai di bawah PN17.


"Antara langkah signifikan dilaksanakan termasuk penyenaraian dan kuota 231.79 juta saham terhad di Pasaran Utama pada 13 Jun 2025 pada harga terbitan 12 sen sesaham," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.


Usaha tersebut tambah kumpulan itu, menyaksikan modal saham syarikat berjaya meningkat daripada sebanyak RM392.94 juta kepada kira-kira RM420.76 juta.


Selain itu, Pestec melaksanakan satu skim pengaturan pra-pakej di bawah Seksyen 369C Akta Syarikat 2016, yang diluluskan pemiutang skim pada 15 Januari 2025 dan disahkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 April 2025.


Skim berkenaan tambah kumpulan tersebut telah didaftarkan secara rasmi dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 26 Mei 2025.


Sehari selepas itu, Pestec telah membuat bayaran tunggal berjumlah RM65 juta kepada pemiutang skim, serta berjaya memperoleh pengecualian hutang sebanyak RM202 juta.


"Pihak syarikat telah mengambil langkah untuk merasionalisasi kedudukan kewangannya," menurut Pestec sambil menambah bahawa sebarang perkembangan lanjut akan diumumkan selaras dengan keperluan bursa.


Kumpulan itu pernah berdepan dengan risiko dinyahsenarai sekiranya gagal mengemukakan laporan tahunan yang tertunggak dalam tempoh enam bulan dari tarikh akhir. - DagangNews.com