Pertumbuhan terlalu banyak kedai baharu MR DIY dikhuatiri jejaskan margin keuntungan - Penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pertumbuhan terlalu banyak kedai baharu MR DIY dikhuatiri jejaskan margin keuntungan - Penganalisis

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 25 Feb – Meskipun mencatat prestasi kewangan FY25 yang kukuh, MR DIY Group masih berdepan beberapa risiko yang boleh menjejaskan pertumbuhan jangka pendek dan sederhana, menurut penganalisis.

 

Antara faktor yang diberi penekanan oleh penganalisis ialah risiko penambahan terlalu banyak cawangan boleh menjejaskan jualan sesetengah kedai di kawasan yang sama serta kos operasi yang semakin meningkat boleh menekan margin keuntungan MR DIY.

 

RHB Research berkata sebarang kelewatan dalam pelan membuka kedai baharu atau sentimen pengguna yang lemah boleh menjejaskan prestasi syarikat. 

 

“Faktor-faktor ini mungkin membuatkan pelabur lebih berhati-hati walaupun hasil FY25 memuaskan dan keuntungan meningkat,” kata firma tersebut dalam nota kajiannya.

 

Maybank Investment Bank pula menekankan risiko jualan yang menurun di kedai sedia ada dan kemungkinan kedai baharu akan memonopoli jualan kedai lama (cannibalisation). 

 

Firma penyelidikan itu turut memberi amaran tentang risiko saturasi kedai, di mana terlalu banyak kedai dalam satu kawasan boleh menjejaskan keuntungan setiap kedai. 

 

Sementara itu, MBSB Research pula berkata cabaran kos operasi seperti kos gaji dan perbelanjaan kedai yang meningkat  boleh menekan margin keuntungan MR DIY.

 

Di sebalik risiko tersebut, prestasi MR DIY pada FY25 tetap menggalakkan dengan keuntungan bersih teras syarikat meningkat disokong oleh margin kasar (GPM) yang kukuh serta jualan suku keempat yang lebih tinggi, mencerminkan permintaan konsisten di kalangan pengguna.

 

Penambahan kedai baharu menjadi faktor utama dalam pertumbuhan syarikat. 

 

Sepanjang FY25, MR DIY menambah 121 kedai baharu, sementara rancangan FY26 mensasarkan pembukaan 155 kedai termasuk jenama KKV. Lebih 100 kedai sedia ada dijadualkan untuk pengubahsuaian bagi meningkatkan produktiviti dan jualan.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih MR DIY meningkat 11.3% kepada RM163.8 juta pada 4QFY25

 

RHB Research mengekalkan saranan Beli dengan harga sasaran RM2.20, menyatakan bahawa dividen tinggi dan pulangan ekuiti (ROE) yang meningkat menyokong nilai saham. 

 

Firma itu turut mengambil kira premium ESG dalam penentuan harga sasaran, dengan skor keseluruhan MR DIY 3.2 daripada 4.

 

MBSB Research juga turut mengekalkan saranan Beli dengan harga sasaran RM2.20, menekankan skala dominan MR DIY, trafik kedai yang tinggi dan strategi pengembangan berdisiplin sebagai faktor penyokong prestasi jangka sederhana. 

 

Firma itu juga menjangkakan margin akan kekal tahan lama hasil daripada skala pembelian yang besar, dinamika pembekalan yang menguntungkan dan penggunaan gudang automatik yang menyokong kelancaran operasi MR DIY.

 

Namun, Maybank IB menurunkan penarafan kepada Pegang walaupun menaikkan harga sasaran kepada RM1.97. 

 

Firma itu memberi fokus kepada risiko jualan setiap kedai yang menurun dan kesan penambahan lebih banyak kedai dalam satu kawasan yang sama dengan jangkaan pertumbuhan keuntungan FY26–FY27 dikurangkan 3–12 peratus.

 

Walau bagaimanapun, Maybank IB memuji dividen yang tinggi dan margin yang tetap kukuh dalam jangka pendek.

 

Prestasi kewangan MR DIY menunjukkan peningkatan konsisten. Hasil FY25 meningkat kepada RM4.95 bilion, naik tujuh peratus YoY, dengan GPM 47.3 peratus. 

 

Suku keempat FY25 menyaksikan jualan 7–9 peratus lebih tinggi QoQ/YoY, sementara keuntungan bersih teras naik sekitar 18 peratus QoQ disebabkan leverage operasi dan kawalan perbelanjaan. - DagangNews.com