Untung bersih MR DIY meningkat 11.3% kepada RM163.8 juta pada 4QFY25 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih MR DIY meningkat 11.3% kepada RM163.8 juta pada 4QFY25

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 24 Feb – MR DIY Group (M) Berhad mencatat pertumbuhan kukuh bagi suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, dengan untung bersih meningkat 11% kepada RM163.8 juta berbanding RM147.2 juta pada 4QFY2024. 

 

Peningkatan ini didorong oleh pembukaan 121 cawangan baharu serta jualan positif sepanjang musim perayaan dan cuti sekolah.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, MR DIY berkata, peningkatan margin keuntungan mencerminkan strategi promosi yang terkawal dan kos inventori yang lebih rendah akibat pengukuhan Ringgit.

 

“Sepanjang tahun kewangan 2025, MR DIY merekodkan hasil sebanyak RM4.95 bilion, naik 6.5 peratus daripada RM4.65 bilion pada tahun sebelumnya. 

 

“Keuntungan bersih meningkat 11.2 peratus kepada RM632.7 juta, dengan margin kasar meningkat kepada 47.5 peratus daripada 45.8 peratus pada 2024,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Jumlah transaksi sepanjang tahun bertambah kepada 197.8 juta berbanding 183 juta sebelumnya, didorong oleh pertambahan cawangan dan jualan seiring pertumbuhan rangkaian peruncit itu. 

 

Bagi 4QFY2025, keuntungan sebelum cukai berjumlah RM218.9 juta, naik 11.9 peratus daripada RM195.6 juta pada suku yang sama tahun lalu. Keuntungan sebelum cukai sepanjang tahun berjumlah RM848.8 juta, menunjukkan operasi MR DIY semakin efisien berbanding pertumbuhan hasil.

 

Syarikat mengumumkan dividen interim sebanyak RM170.6 juta atau 1.8 sen sesaham untuk suku keempat 2025, selain tambahan dividen RM189.5 juta atau 2.0 sen sesaham bagi tahun kewangan penuh.

 

Jumlah keseluruhan dividen bagi tahun 2025 dianggarkan RM758 juta, bersamaan 119.8 peratus daripada keuntungan bersih.

 

Jumlah cawangan MR DIY meningkat kepada 1,556 kedai, mewakili pertumbuhan rangkaian sebanyak 8.4 peratus berbanding tahun sebelumnya. Peningkatan ini menyokong pertumbuhan jualan dan memperkukuh kehadiran peruncit itu di Malaysia dan Brunei.

 

Pada akhir Disember 2025, tunai dan baki bank MR DIY berjumlah RM209.6 juta, manakala pinjaman menurun kepada RM104.4 juta daripada RM139.1 juta setahun sebelumnya. 

 

Ekuiti pemegang saham meningkat kepada RM2.02 bilion, menunjukkan kedudukan kewangan yang kukuh.

 

Syarikat itu merancang untuk membuka 155 cawangan baharu pada 2026 sambil mengekalkan strategi pemilihan lokasi yang strategik dan efisien. - DagangNews.com