Pensonic berdepan krisis Lembaga Pengarah, pemegang saham terbesar mahu singkir CEO Kumpulan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pensonic berdepan krisis Lembaga Pengarah, pemegang saham terbesar mahu singkir CEO Kumpulan

Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pensonic, Datuk Dixon Chew Chuon Jin
Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 15 Julai – Pensonic Holdings Bhd kini berdepan krisis Lembaga Pengarah apabila pemegang saham terbesarnya, Sphere Corp Sdn. Bhd. mahu menyingkirkan Datuk Dixon Chew Chuon Jin daripada jawatan pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan.

 

Sphere Corp, yang memiliki 26 juta saham atau 17.51% kepentingan dalam syarikat pengeluar barangan elektrik itu, telah mengemukakan notis tuntutan terhadap Pensonic bagi mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) untuk membolehkan pemegang saham mengundi usul penyingkiran berkenaan.

 

Bagaimanapun, notis tersebut tidak menyatakan sebarang alasan di sebalik cadangan itu, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai punca sebenar tindakan berkenaan.

 

Perkembangan itu menarik perhatian memandangkan keluarga Chew mempunyai hubungan yang cukup sinonim dengan Pensonic sejak penubuhannya.

 

Sphere Corp muncul sebagai pemegang saham besar Pensonic pada September 2023 selepas memperoleh 10.34% pegangan daripada pengasas dan Pengerusi Pensonic, Datuk Seri Chew Weng Khak, yang juga bapa kepada Dixon Chew.

 

Sehingga 3 Jun lalu, Weng Khak masih memiliki 4.736% pegangan langsung dan 3.543% pegangan tidak langsung dalam syarikat itu.

 

Dixon Chew, yang menganggotai Lembaga Pengarah Pensonic sejak September 1995, dilantik sebagai Pengarah Urusan Kumpulan pada November 2023 sebelum mengambil alih jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan. Beliau kini memiliki 7.34% kepentingan dalam syarikat.

 

Tindakan ketika prestasi kembali pulih

Apa yang menjadikan perkembangan ini lebih mengejutkan ialah tindakan itu diambil ketika prestasi kewangan Pensonic kembali pulih.

 

Bagi suku ketiga berakhir 28 Februari 2026, syarikat mencatat keuntungan bersih RM3.09 juta berbanding kerugian bersih RM168,000 dalam tempoh sama tahun sebelumnya, manakala hasil meningkat kepada RM91.19 juta daripada RM86.8 juta.

 

Saham Pensonic ditutup tidak berubah pada 39.5 sen semalam, sekali gus meletakkan nilai permodalan pasarannya pada RM61.41 juta. - DagangNews.com