KUALA LUMPUR 15 Julai - Kerajaan tidak bercadang menarik balik peraturan baharu berhubung import kenderaan elektrik (EV) pemasangan siap sepenuhnya (CBU), sebaliknya menegaskan langkah itu penting bagi memperkukuh pembangunan industri automotif tempatan yang berdaya saing dan mampan.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, dasar tersebut selaras dengan matlamat Dasar Automotif Nasional (NAP) yang bertujuan mengurus kemasukan model EV ke pasaran agar menawarkan rangkaian produk yang lebih menyeluruh, di samping merangsang pembangunan ekosistem automotif tempatan.
Menurut kementerian itu, kerajaan mengambil pendekatan seimbang antara melindungi kepentingan pengguna dan memastikan industri automotif negara terus berkembang.
"Pengguna berhak menikmati EV pada harga mampu milik, manakala negara memerlukan industri automotif yang kukuh bagi mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi, membangunkan vendor tempatan, menarik pelaburan berkualiti serta mengukuhkan rantaian bekalan domestik," katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen semalam.
MITI menjawab pertanyaan Pang Hok Liong (PH-Labis) mengenai sama ada kerajaan akan menarik balik keputusan terbaharu kementerian itu yang didakwa menyebabkan harga EV meningkat dan dilihat bercanggah dengan usaha mempercepatkan penggunaan EV dalam kalangan rakyat, khususnya bagi model berharga di bawah RM100,000 atau RM150,000.
Pada masa sama, MITI menegaskan kerajaan kekal komited memperluaskan penggunaan EV melalui pelbagai insentif kepada pengeluar dan pengguna.
Antaranya ialah meneruskan pengecualian 100% duti import, duti eksais dan cukai jualan bagi EV pemasangan tempatan secara pemasangan terurai lengkap (CKD) sehingga 31 Disember 2027.
Menurut kementerian itu, insentif tersebut membolehkan pengeluar menawarkan model EV pada harga lebih kompetitif, selain menggalakkan aktiviti pemasangan tempatan, pemindahan teknologi dan pembangunan vendor tempatan.
Dalam usaha memperkukuh lagi ekosistem EV negara, kerajaan turut mempercepat pembangunan rangkaian kemudahan pengecasan di seluruh negara bagi meningkatkan keyakinan pengguna terhadap penggunaan kenderaan elektrik.
MITI berkata, kemampuan rakyat memiliki EV bukan hanya bergantung kepada harga kenderaan, malah turut dipengaruhi oleh ketersediaan kemudahan pengecasan yang mudah diakses.
"Pengalaman daripada industri kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) menunjukkan penerimaan pengguna meningkat seiring kewujudan ekosistem yang kukuh, termasuk sokongan lebih 3,000 stesen minyak di seluruh negara," katanya. - DagangNews.com








