Paragon Globe beli tanah RM127.3 juta di Sedenak, bangunkan taman perindustrian GDV RM1.69 bilion | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Paragon Globe beli tanah RM127.3 juta di Sedenak, bangunkan taman perindustrian GDV RM1.69 bilion

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 15 Julai – Paragon Globe Berhad membeli tambahan tanah pegangan bebas seluas 79.16 hektar (195.6 ekar) di Sedenak, Johor pada harga RM127.28 juta secara tunai bagi membangunkan sebuah taman perindustrian bersepadu dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.69 bilion.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, pengambilalihan tersebut bersama pembelian terdahulu bernilai RM13.86 juta akan memberikan kumpulan itu kepentingan benefisial berjumlah kira-kira 88.26 hektar (218.1 ekar) daripada keseluruhan tanah seluas 103.89 hektar (256.7 ekar) itu, menjadikan jumlah pelaburan keseluruhan sebanyak RM141.14 juta.

 

Menurut Paragon Globe, kedua-dua urus niaga itu akan dianggap sebagai satu transaksi tunggal di bawah peraturan Bursa Malaysia kerana dimeterai dalam tempoh 12 bulan melibatkan lot tanah yang sama.

 

Syarikat itu turut memaklumkan sedang mengadakan rundingan bagi memperoleh baki kepentingan 159/1,000 dalam tanah berkenaan, namun tiada jaminan rundingan tersebut akan dimuktamadkan.

 

Tanah itu terletak di zon pembangunan utama Kulai-Sedenak dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), yang dijangka mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan terhadap hartanah perindustrian serta aliran pelaburan yang semakin rancak ke Johor.

 

Paragon Globe merancang membangunkan kawasan itu sebagai taman perindustrian bersepadu yang merangkumi unit kilang, ruang komersial serta asrama pekerja sebanyak 360 unit yang mampu menempatkan sehingga 5,400 pekerja.

 

Projek berkenaan dianggarkan menjana nilai pembangunan kasar sebanyak RM1.69 bilion serta keuntungan pembangunan kasar sekitar RM430 juta dalam tempoh lapan tahun.

 

Perkukuh bank tanah pembangunan industri

Syarikat berkata, cadangan pengambilalihan itu sejajar dengan strateginya untuk memperluaskan bank tanah dan mengukuhkan saluran pembangunan hartanah masa depan, khususnya dalam segmen perindustrian yang mencatat permintaan tinggi.

 

Urus niaga tersebut akan dibiayai menerusi gabungan pinjaman bank dan dana dalaman, serta masih tertakluk kepada kelulusan pemegang saham.


 

Datuk Seri Edwin Tan Peng
Datuk Seri Edwin Tan Peng

 


Pengerusi Eksekutif Paragon Globe, Datuk Seri Edwin Tan Peng berkata, pengambilalihan itu memberikan kedudukan strategik kepada kumpulan dalam JS-SEZ, sekali gus membolehkan syarikat meneroka pembangunan perindustrian berskala lebih besar berdasarkan permintaan pasaran dan kelulusan pihak berkuasa.

 

Beliau berkata, langkah itu juga dijangka memperkukuh prospek pertumbuhan jangka panjang Paragon Globe ketika Johor terus muncul sebagai destinasi utama pelaburan industri dan pembuatan di rantau ini. - DagangNews.com