Kelemahan harga keluli hanya sementara, RHB Research kekal 'overweight' sektor bahan binaan asas | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kelemahan harga keluli hanya sementara, RHB Research kekal 'overweight' sektor bahan binaan asas

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 15 Julai – Walaupun harga keluli global terus susut susulan pemulihan bekalan dan peningkatan pengeluaran di China, RHB Research berpandangan kelemahan itu hanya bersifat sementara.

 

Defisit struktur stok berkenaan namun dilihat dapat diatasi sepenuhnya, sekali gus mendorong firma penyelidikan tersebut mengekalkan penarafan 'overweight' terhadap sektor bahan binaan asas.

 

Pada masa sama ujarnya, tekanan semasa ke atas harga aluminium tidak mengubah prospek jangka sederhana kerana bekalan dan permintaan global yang tidak seimbang masih dijangka berterusan.

 

"Penilaian saham syarikat di bawah liputan kami kekal menarik berbanding purata sejarah meskipun harga aluminium menghampiri paras sebelum tercetusnya konflik di rantau Timur Tengah," kata RHB Research.

 

Perkembangan semasa menyaksikan aliran eksport bahan mentah alumina dari negara-negara Teluk Parsi kembali lancar, dan mengurangkan kebimbangan gangguan bekalan yang menyokong kenaikan harga logam.

 

Peningkatan pengeluaran aluminium di China ketika ini turut memberi tekanan kepada pasaran tetapi jika kadar tersebut kekal sepanjang separuh kedua 2026, jurang kekurangan bekalan global dapat diatasi.

 

bahan binaan_DagangNews2026

 

Selain itu ujar RHB Research, kelemahan harga tembaga memberi kesan negatif kepada aluminium memandangkan kedua-dua logam itu mempunyai hubungan harga yang cukup rapat sejak sekian lama lagi.

 

"Bagi sektor simen pula, kami melihat prospek semakin bertambah baik apabila harga arang batu terus menurun dalam tempoh empat minggu, seiring penyusutan harga minyak mentah dunia," tambah firma itu.

 

Ia menjangkakan pemulihan margin keuntungan boleh bermula seawal suku kedua tahun kewangan 2027 jika trend kemerosotan harga arang batu berterusan, meskipun ada risiko kawalan eksport Indonesia.

 

Dalam unjuran terbaharunya, RHB Research masih mengekalkan andaian purata harga aluminium sepanjang 2026 sebagai mengambil pendekatan yang lebih konservatif terhadap persekitaran pasaran global.

 

Justeru ia terus mengesyorkan Press Metal Aluminium Holdings Berhad sebagai pilihan utama sektor berikutan jangkaan defisit struktur aluminium global yang kekal berterusan untuk jangka sederhana.

 

"Malayan Cement Berhad turut dilihat menawarkan potensi kenaikan kerana kecekapan operasi dan margin kukuh serta penilaian saham pada paras menarik berbanding purata sejarah," katanya. - DagangNews.com