KUALA LUMPUR 15 Julai – Kemerosotan harga saham Press Metal Aluminium Holdings Berhad sejak beberapa minggu lalu dilihat sebagai peluang terbaik pelabur menambah pegangan, kata RHB Research.
Firma penyelidikan tersebut menambah, situasi berkenaan bukannya petanda kelemahan asas syarikat itu, dan ia masih mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) baharu RM9.80 sesaham.
Walaupun TP disemak turun daripada RM10.50 sejajar andaian harga aluminium yang konservatif, saham kumpulan itu tetap menawarkan potensi kenaikan sekitar 25%, disokong oleh asas perniagaan kukuh.
"Press Metal berdepan cabaran semasa harga aluminium yang lebih banyak dipengaruhi sentimen pasaran susulan situasi di Timur Tengah, namun gangguan bekalan belum pulih sepenuhnya," jelas RHB Research
Kerosakan terhadap kapasiti peleburan aluminium di rantau berkenaan dijangka mengambil masa setahun dipulihkan, dan menjadi punca defisit struktur bekalan aluminium global dalam tempoh sederhana.
Menurutnya, meskipun diambil andaian senario keamanan berkekalan di Timur Tengah, harga aluminium di pasaran antarabangsa diunjur masih melebihi AS$3,000 (RM12,203) satu tan dalam tempoh terdekat.

Bagi 2027, RHB Research mengambil pendekatan berhati-hati ke atas Press Metal berikutan jangkaan pemulihan beransur-ansur kapasiti peleburan serta faktor pertambahan kapasiti baharu di Indonesia.
"Selain itu, kumpulan tersebut dijangka mendapat manfaat keuntungan 5% daripada pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) kerana lebih 90% jualannya diperoleh daripada pasaran eksport," tambahnya.
Bagaimanapun, jika harga aluminium lebih rendah serta peningkatan kos anod karbon, ia menurunkan unjuran keuntungan syarikat berkenaan bagi tahun kewangan 2026 dan 2027 masing-masing 3% dan 5%.
RHB Research turut berpandangan penilaian semasa saham Press Metal masih menarik apabila diniagakan pada nisbah harga kepada pendapatan (P/E) 22 kali, lebih rendah daripada purata lima tahun.
Situasi ini berpotensi membolehkan penarafan semula setelah sentimen pasaran terhadap aluminium kembali pulih, disokong asas pertumbuhan dan margin keuntungan syarikat itu yang kekal kukuh.
"Kedudukan kos yang kompetitif serta jangkaan defisit struktur bekalan aluminium global dijangka menjadi pemacu utama prestasi syarikat dalam tempoh beberapa tahun akan datang," katanya. - DagangNews.com








