Kos siapkan baki dua kapal rondaan pesisir APMM RM319.6 juta - Menteri Dalam Negeri | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kos siapkan baki dua kapal rondaan pesisir APMM RM319.6 juta - Menteri Dalam Negeri

OPV 1 sebelum dipasang meriam utama pada bahagian hadapan kapal.
Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 15 Julai - Kos untuk menyiapkan baki dua daripada tiga kapal rondaan luar pesisir (OPV) milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kini dianggarkan sebanyak RM319.6 juta, dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyasarkan kerja pembinaan dapat disambung seawal November 2026.

 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, KDN akan memulakan rundingan harga dengan syarikat yang bakal dilantik bagi melaksanakan kerja-kerja penyiapan OPV 2 dan OPV 3, selaras dengan surat kelulusan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan (MOF) pada 5 Jun 2026.

 

"Kerja-kerja menyiapkan baki dua kapal, OPV 2 dan OPV 3, kini sedang menunggu pelantikan syarikat untuk melaksanakan kontrak penyiapan," katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.

 

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz yang meminta perkembangan terkini pembinaan dua lagi kapal OPV kelas Tun Fatimah yang sekian lama tertangguh.

 

Menurut Saifuddin, KDN turut mengadakan perbincangan dengan pihak pelikuidasi bagi mendapatkan akses ke limbungan kapal Pulau Indah, yang akan menjadi lokasi bagi meneruskan baki kerja pembinaan.

 

"Kementerian menjangkakan kerja pembinaan OPV 2 dan OPV 3 dapat dimulakan semula seawal November 2026, tertakluk kepada pengaktifan semula limbungan kapal Pulau Indah," katanya.

 

OPV Pertama Telah Diterima

Projek OPV itu terus menjadi perhatian berikutan kelewatan berulang, pertukaran kontraktor serta peningkatan kos yang melibatkan pembinaan kapal penguat kuasa maritim APMM.

 

Sehingga kini, APMM hanya menerima satu daripada tiga kapal tersebut, iaitu OPV 1 yang dinamakan KM Tun Fatimah dan diserahkan kepada agensi itu pada 2 Januari 2024.

 

Kontrak asal bagi membekalkan, menghantar, menguji dan mentauliahkan tiga buah OPV lengkap dengan kelengkapan serta aksesori diberikan kepada THHE Destini Sdn. Bhd. bernilai RM740 juta, dengan penyerahan dijadualkan dalam tempoh 42 bulan menjelang Ogos 2020.

 

Bagaimanapun, projek itu mengalami kelewatan, menyebabkan Kementerian Kewangan mengambil alih projek tersebut daripada THHE Destini pada Januari 2023 selepas mengenal pasti beberapa isu, termasuk keperluan pinjaman kerajaan sebanyak RM152.6 juta bagi menyiapkan dan menyerahkan kapal pertama.

 

THHE Destini pada asalnya dimiliki sebanyak 51% oleh Destini Bhd. dan 49% oleh TH Heavy Engineering Bhd. TH Heavy Engineering kemudian mengambil alih pegangan Destini pada harga RM121.13 juta pada penghujung 2021, sekali gus menjadikan THHE Destini sebagai anak syarikat milik penuhnya.

 

Kontrak THHE Destini

Saifuddin turut mengesahkan kontrak THHE Destini ditamatkan menerusi perjanjian penamatan secara bersama pada 31 Disember 2024, dengan keputusan itu diumumkan pada Februari 2025.

 

Syarikat itu juga dikenakan ganti rugi ditetapkan dan dipersetujui (liquidated ascertained damages atau LAD) melebihi RM12 juta berikutan kelewatan menyiapkan OPV 2 dan OPV 3.

 

Susulan penamatan kontrak tersebut, kerajaan meluluskan tambahan peruntukan sebanyak RM200 juta bagi menyiapkan baki dua kapal berkenaan, sekali gus menjadikan keseluruhan kos pembinaan tiga OPV meningkat kepada RM940 juta.

 

Pada Mei 2025, Shin Yang Shipyard, anak syarikat Shin Yang Group Bhd., menerima surat hasrat (LOI) daripada KDN untuk melaksanakan kerja-kerja penyiapan OPV 2 dan OPV 3.

 

Bagaimanapun, LOI tersebut tidak mengikat dari segi undang-undang dan sehingga kini masih belum ada kontrak rasmi yang dimeterai. - DagangNews.com