KUALA LUMPUR 15 Julai – CPE Technology Bhd menjalin kerjasama strategik dengan syarikat Jepun, Kanekita Co Ltd bagi menubuhkan sebuah syarikat usaha sama (JV) di Malaysia yang akan memberi tumpuan kepada pengeluaran komponen keluli tahan karat berketepatan tinggi untuk sektor semikonduktor.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, CPE Technology berkata kerjasama itu akan menggabungkan kekuatan kedua-dua syarikat dalam bidang pembuatan dan teknologi rawatan permukaan logam.
Di bawah kerjasama tersebut, CPE Technology akan menyediakan keupayaan pembuatan, kemudahan pengeluaran serta rangkaian pelanggan, manakala Kanekita menyumbangkan kepakaran teknologi bagi menghasilkan komponen keluli tahan karat bernilai tinggi untuk industri semikonduktor.
Teknologi khas itu adalah proses rawatan permukaan yang membantu meningkatkan ketahanan, kebersihan dan prestasi komponen logam, khususnya bagi aplikasi yang memerlukan tahap ketepatan tinggi seperti dalam rantaian bekalan semikonduktor.
CPE Technology berkata penggunaan teknologi milik Kanekita akan membolehkan kumpulan meningkatkan keupayaan kejuruteraan ketepatan serta memperluaskan penawaran produk semikonduktor bernilai tambah tinggi.
“Pada masa sama, Kanekita akan memanfaatkan kemudahan pembuatan, kapasiti pengeluaran dan rangkaian pelanggan CPE Technology bagi mengkomersialkan teknologinya serta memenuhi permintaan yang semakin meningkat tanpa perlu membuat pelaburan untuk mengembangkan kemudahan pengeluaran sendiri.
“Kerjasama itu dijangka memperkukuh daya saing kedua-dua syarikat dan menyokong pertumbuhan jangka panjang menerusi pengeluaran komponen semikonduktor berketepatan tinggi yang mempunyai nilai pasaran lebih besar.
“Di bawah perjanjian berkenaan, kedua-dua pihak akan menubuhkan sebuah syarikat usaha sama dalam bentuk syarikat sendirian berhad di Malaysia, dengan nama syarikat tersebut masih belum dimuktamadkan,” katanya.
Sebaik sahaja diperbadankan, CPE Technology akan memegang 50.5% kepentingan dalam syarikat usaha sama itu, manakala Kanekita memiliki baki 49.5%, dengan modal berbayar permulaan ditetapkan sebanyak RM100.
Dari segi tadbir urus, CPE Technology berhak melantik sehingga dua daripada tiga ahli lembaga pengarah syarikat usaha sama tersebut, sementara Kanekita akan melantik seorang wakil sebagai pengarah.
CPE Technology berkata, perjanjian itu tidak dijangka memberi kesan material terhadap modal saham terbitan kumpulan, pegangan pemegang saham utama, pendapatan sesaham, aset bersih sesaham atau tahap keberhutangan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026.
Langkah berkenaan mencerminkan usaha CPE Technology untuk memperkukuh kedudukannya dalam sektor semikonduktor yang mempunyai prospek pertumbuhan jangka panjang, selain memanfaatkan kepakaran teknologi Jepun bagi meningkatkan keupayaan pembuatan kumpulan.
Bagi suku ketiga berakhir 31 Mac 2026, CPE Technology merekodkan keuntungan bersih RM5.08 juta, susut 33.56% berbanding RM7.6 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya, disebabkan jualan yang lebih lemah dalam segmen sains hayat dan peranti perubatan. - DagangNews.com








