KUALA LUMPUR 15 Julai – Lagenda Properties Bhd menyusun semula perniagaannya menerusi cadangan urus niaga bernilai RM543.16 juta dengan Epicon Bhd yang meletakkan Epicon sebagai platform pembinaan utama kumpulan bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang.
Menerusi cadangan itu, Epicon akan memperoleh pegangan 60% dalam dua anak syarikat pembinaan milik Lagenda iaitu Rantau Urusan (M) Sdn Bhd (RUSB) dan LPB Construction Sdn Bhd (LPBC), yang memiliki buku tempahan semasa berjumlah RM1.24 bilion serta akan memberi akses kepada saluran pembangunan hartanah Lagenda bernilai RM10.28 bilion.
Menurut makluman berasingan kedua-dua syarikat kepada Bursa Malaysia, pengambilalihan itu akan diselesaikan menerusi pengambilalihan hutang berkaitan sebanyak RM125.82 juta, penerbitan 1.86 bilion saham baharu Epicon bernilai RM241.43 juta serta penerbitan 1.35 bilion Saham Keutamaan Boleh Tebus Boleh Tukar Kelas A (RCPS A) bernilai RM175.91 juta.
Semua saham dan RCPS A itu akan diterbitkan pada harga 13 sen seunit.
Selepas pengambilalihan dan beberapa cadangan korporat lain disempurnakan, Lagenda akan muncul sebagai pemegang saham terbesar Epicon dengan pegangan sebanyak 62.79%, manakala pegangan bersama pihak berkaitan dijangka meningkat kepada kira-kira 73.34%, sekali gus mengukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua syarikat yang mempunyai kaitan dengan keluarga Doh.
Pengarah Urusan Lagenda, Datuk Doh Jee Ming, merupakan pemegang saham utama syarikat itu menerusi pegangan tidak langsung sebanyak 58.336% melalui Lagenda Land Sdn Bhd dan Doh Properties Sdn Bhd.
Beliau juga memiliki 90% kepentingan dalam Doh Properties yang kini memegang 10.68% saham Epicon serta 233 juta RCPS.
Perubahan Pegangan Dan Tawaran Pengambilalihan Mandatori
Doh Properties telah memberi komitmen untuk menukar semua RCPS itu kepada saham biasa sebelum urus niaga dimuktamadkan yang meningkatkan pegangan langsungnya kepada 34.86% dan pegangan bersama pihak berkaitan kepada 36.25%.
Peningkatan melepasi ambang 33% lazimnya akan mencetuskan kewajipan Tawaran Pengambilalihan Mandatori (MGO), namun Doh Properties dan Lagenda masing-masing akan memohon pengecualian daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, tertakluk kepada kelulusan pemegang saham bebas Epicon.
Berdasarkan penilaian bebas, RUSB dan LPBC dinilai pada RM905.26 juta. Bagi memberi keyakinan kepada Epicon, Lagenda turut menjamin kedua-dua syarikat itu akan mencatat keuntungan selepas cukai terkumpul sebanyak RM238 juta bagi tahun kewangan 2027 dan 2028, merangkumi RM110 juta pada 2027 dan RM128 juta pada 2028.
Sebagai jaminan, sebanyak 1.098 bilion saham Epicon yang diterbitkan kepada Lagenda akan dicagarkan dan hanya akan dilepaskan sekiranya sasaran keuntungan itu dicapai.
Sekiranya berlaku kekurangan, Lagenda perlu membayar pampasan sama ada melalui saham yang dicagarkan atau secara tunai.
Jaminan Keuntungan Dan Opsyen Pengambilalihan
Epicon turut diberikan pilihan untuk memperoleh baki 40% kepentingan dalam RUSB dan LPBC pada nilai sehingga RM362.11 juta dalam tempoh 30 bulan selepas penentuan jaminan keuntungan.
Bayaran bagi pengambilalihan itu boleh dibuat menerusi tunai, saham baharu Epicon dan/atau RCPS A, manakala nilainya akan diselaraskan sekiranya sasaran keuntungan gagal dicapai.
Bagi mengukuhkan kedudukan kewangan, Epicon juga bercadang melaksanakan penempatan persendirian sebanyak 240 juta saham baharu pada harga 13 sen sesaham bagi mengumpul RM31.2 juta.
Saham itu mewakili 8.11% daripada modal saham diperbesarkan syarikat dan akan diterbitkan kepada Binari Maju Sdn Bhd, JMJ Mega Bina Sdn Bhd, Teoh Wei Sheng serta Matthew Kong Len Ern, yang tidak mempunyai kaitan dengan pengarah atau pemegang saham utama Epicon.
Kedudukan Kewangan Lebih Kukuh
Hasil penempatan persendirian itu akan digunakan untuk mengukuhkan kedudukan kewangan syarikat, termasuk modal kerja dan perbelanjaan berkaitan urus niaga. Saham baharu Epicon pula hanya akan diterbitkan selepas penukaran RCPS sedia ada milik Doh Properties dan penempatan persendirian selesai, manakala RCPS A akan diterbitkan selepas itu serta boleh ditukar kepada saham biasa pada masa hadapan, tertakluk kepada peraturan Bursa Malaysia.
Dalam masa sama, saham RUSB dan LPBC akan dipindahkan kepada Epicon tanpa sebarang sekatan atau tuntutan, sekali gus memberikan hak penuh ke atas pegangan 60% tersebut. Kedua-dua syarikat juga akan memeterai perjanjian pemegang saham bagi menetapkan kaedah pengurusan dan operasi RUSB serta LPBC selepas pengambilalihan dimuktamadkan.
Cadangan penstrukturan semula ini dijangka membolehkan Lagenda memberi tumpuan sepenuhnya kepada pembangunan hartanah, manakala Epicon akan berfungsi sebagai cabang pembinaan kumpulan.
Langkah itu dijangka memperkukuh buku tempahan, mempelbagaikan sumber pendapatan serta meningkatkan keupayaan pembinaan Epicon pada masa hadapan. - DagangNews.com








