KUALA LUMPUR 19 Dis - UWC Berhad mengukuhkan kedudukannya dalam segmen peralatan semikonduktor dengan membangunkan model pengendali ujian (test handler) yang lebih baharu, selari dengan penembusan pelanggan utamanya ke dalam rantaian bekalan kecerdasan buatan (AI), kata Phillip Capital Research.
Firma penyelidikan itu berkata, pembangunan model baharu itu dijangka membuka ruang pertumbuhan tambahan kepada kumpulan, khususnya dalam segmen back-end (BE), walaupun harga jualan purata (ASP) masih belum dimuktamadkan.
"Bagaimanapun, prospek kekal positif dengan jangkaan ASP lebih tinggi berbanding paras semasa sekitar RM200,000 seunit, sejajar dengan peningkatan spesifikasi dan keperluan teknologi berkaitan AI," katanya dalam nota penyelidikan.
Menurut Phillip Capital dalam perkembangan berasingan, bekas pelanggan BE terbesar UWC turut mencatatkan kejutan positif apabila kembali menyumbang kepada buku pesanan semasa syarikat.
Pelanggan tersebut kini merangkumi kira-kira 13% daripada jumlah buku pesanan UWC, didorong oleh tempahan bagi platform penguji cip baharu.
Firma penyelidikan itu menjangkakan peningkatan pengeluaran bagi platform berkenaan akan berlaku pada separuh kedua tahun kewangan 2026 (2HFY26), tertakluk kepada penyelesaian kekangan rantaian bekalan jangka terdekat yang sedang dihadapi industri.
Sehubungan itu Phillip Capital mengekalkan unjuran pendapatan UWC dengan saranan BELI serta harga sasaran (TP) 12 bulan sebanyak RM4.98, disandarkan kepada gandaan PE sasaran ke atas pendapatan sesaham (EPS) anggaran CY26E.
ARTIKEL BERKAITAN: Hasil UWC meningkat 35% kepada RM120.8 juta pada 1QFY2026
Menurut firma itu lagi pandangan positif terhadap saham itu kekal kukuh berikutan jangkaan penilaian semula harga saham yang berterusan, didorong oleh potensi kejutan pendapatan yang positif.
Keyakinan terhadap prospek UWC turut diperkukuhkan hasil sesi taklimat pasca-keputusan syarikat, yang menyaksikan buku pesanan mencecah paras tertinggi rekod sekitar RM200 juta, sekali gus menyediakan keterlihatan pendapatan bagi tempoh kira-kira dua suku tahun akan datang.
Pendedahan kepada sektor semikonduktor kekal sebagai pemacu utama, dengan segmen front-end (FE) dan back-end (BE) masing-masing menyumbang 35% dan 53% kepada keseluruhan buku pesanan. Prestasi ini terus disokong oleh permintaan kukuh daripada pelanggan FE terbesar UWC.
Dari segi operasi, pelan pengembangan kapasiti kekal mengikut perancangan susulan penempatan 14 mesin baharu bernilai RM10 juta.
Potensi peningkatan tambahan turut dijangka daripada pesanan pemasangan mekatronik baharu serta peningkatan pengeluaran yang lebih kukuh daripada dua pelanggan utama pada separuh kedua tahun kewangan 2026 (2HFY26), selari dengan penyiapan kilang baharu yang dijadualkan pada Januari 2026. - DagangNews.com








