KUALA LUMPUR 22 Julai – DagangHalal.com memainkan peranan penting dalam memperluaskan penyertaan syarikat Malaysia di Mega Halal Bangkok 2026 selepas dilantik sebagai Rakan Jualan Strategik yang membuka lebih banyak peluang kepada pengeluar tempatan menembusi pasaran ASEAN dan antarabangsa.
Pelantikan oleh Comasia Limited itu menyaksikan DagangHalal dipertanggungjawabkan menguruskan pengambilan peserta pameran dari Malaysia, China dan Jepun, selain mempergiatkan usaha menarik pembeli antarabangsa serta memperluaskan pembangunan perniagaan di rantau ini.
Pameran yang berlangsung selama tiga hari bermula 15 hingga 17 Julai lalu di Pusat Konvensyen Kebangsaan Queen Sirikit, Bangkok menghimpunkan pengeluar, pengeksport, pembeli, pengedar serta rakan perdagangan industri halal dari seluruh ASEAN dan pasaran global.
Sebanyak 24 syarikat Malaysia menyertai pameran tersebut dengan mempamerkan pelbagai produk termasuk makanan dan minuman, kesihatan dan kesejahteraan, kecantikan serta penjagaan diri, selain produk pengguna halal yang lain.
Penyertaan itu memberi peluang kepada syarikat tempatan menilai permintaan pasaran, bertemu bakal pengedar dan pembeli, selain meneroka kerjasama komersial jangka panjang di Thailand serta negara-negara ASEAN.
Perkukuh Hubungan Perdagangan Serantau
Majlis pembukaan pameran itu disempurnakan oleh Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul dan Yang Amat Mulia Tengku Sulaiman Shah Al-Haj yang turut menyampaikan ucaptama sempena acara berkenaan.
Penyertaan Malaysia dalam pameran itu juga melengkapi agenda pembangunan eksport negara yang diterajui Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menerusi pelbagai program pameran perdagangan, padanan perniagaan dan inisiatif memperluaskan akses pasaran antarabangsa.
Bantu Syarikat Bina Laluan Ke Pasaran Global
Menurut DagangHalal, peranannya bukan sekadar membawa syarikat menyertai pameran, sebaliknya membantu mereka memperkenalkan produk kepada pembeli, memahami keperluan pasaran dan membina hubungan perniagaan yang mampu diteruskan selepas tamat acara.
“Thailand merupakan pasaran penting selain menjadi pintu masuk strategik ke pasaran ASEAN yang lebih luas, justeru gabungan penyertaan fizikal dalam pameran bersama platform digital DagangHalal mampu membantu lebih ramai pengeluar membina laluan yang lebih tersusun untuk mengembangkan perniagaan di peringkat serantau,” katanya dalam satu kenyataan.
Mega Halal Bangkok 2026 yang diadakan serentak dengan Mega Show Bangkok 2026 menghimpunkan lebih 1,200 pempamer dari 22 negara dan wilayah menerusi lebih 1,300 reruai, selain menarik kehadiran lebih 20,000 pembeli serta pelawat perdagangan dari lebih 70 pasaran.
Selain mempromosikan produk halal Malaysia, DagangHalal turut memperkenalkan Halal Internal Assurance System (HIAS), iaitu platform digital berasaskan awan yang membantu syarikat menguruskan dokumentasi halal dan keselamatan makanan, memantau status pensijilan, mengendalikan proses audit serta meningkatkan kebolehkesanan dalam rantaian bekalan.
Semua inisiatif itu bertujuan mengukuhkan keyakinan pihak berkuasa dan pembeli antarabangsa terhadap pematuhan standard halal. - DagangNews.com








