Ng Yan Cheng gesa henti serangan peribadi, RM89.55 juta disalurkan untuk pastikan PRG dipulihkan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ng Yan Cheng gesa henti serangan peribadi, RM89.55 juta disalurkan untuk pastikan PRG dipulihkan

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 22 Julai - Pemegang saham utama PRG Holdings Berhad, Datuk Ng Yan Cheng menjelaskan sokongan kewangan berjumlah RM89.55 juta yang disalurkan kepada syarikat dan anak-anak syarikat bertujuan memastikan operasi kumpulan dapat diteruskan serta obligasi kewangan dipenuhi ketika berdepan masalah aliran tunai.

 

Dalam kenyataan hari ini beliau berkata, keputusan menyalurkan pembiayaan itu dibuat kerana percaya perniagaan PRG masih boleh dipulihkan dan nilai kepada pemegang saham dapat dipertahankan.

 

Beliau menegaskan sokongan kewangan tersebut tidak seharusnya dinilai semata-mata berdasarkan jumlah yang disalurkan, sebaliknya perlu dilihat daripada sudut risiko komersial yang telah ditanggung.

 

"Pada saat-saat yang sukar, saya menyokong PRG kerana saya percaya perniagaan ini boleh distabilkan dan nilai kepada pemegang saham akhirnya dapat dipelihara.

 

"Baki pendahuluan diberikan tanpa cagaran, sebahagian besarnya tanpa faedah dan tempoh pembayaran balik juga pernah dilanjutkan untuk tempoh yang panjang ketika Kumpulan PRG berdepan masalah operasi serta kewangan," katanya.

 

Serangan Peribadi

Sambil menyatakan rasa sedih dan kecewa kerana peranannya telah salah ertikan, beliau mendakwa terdapat pemegang saham yang sengaja mengetepikan kegagalan lampau dan membesar-besarkan isu transaksi pihak berkaitan sehingga mewujudkan persepsi yang tidak tepat.

 

"Saya juga ingin mengingatkan supaya tidak mewujudkan naratif yang bersifat peribadi atau memberi gambaran bahawa saya dan keluarga berniat untuk memudaratkan PRG," katanya.

 

Menurut Yan Cheng, lebih menyedihkan ialah apabila pemegang saham dipengaruhi oleh naratif yang tidak lengkap dan mengelirukan sehingga mendorong serangan peribadi terhadap beliau dan keluarganya.

 

"Sebagai antara pemegang saham terbesar, pemiutang dan penyokong kewangan jangka panjang PRG, saya mempunyai setiap sebab untuk mahu melihat syarikat ini pulih.

 

"Jika PRG gagal, saya berisiko kehilangan dana yang telah saya salurkan kepada Kumpulan, selain nilai pegangan saham saya turut akan terjejas.

 

"Kepentingan saya sentiasa selari dengan kelangsungan operasi, kestabilan dan pemulihan jangka panjang PRG," katanya.

 

Semakan Bebas Membabitkan Semua Pihak

Sambil mengulangi sokongan terhadap semakan bebas dan berjanji untuk memberikan kerjasama sepenuhnya, Yan Cheng turut menggesa semua pihak menghentikan serangan peribadi dan membenarkan pemegang saham membuat penilaian berdasarkan dokumen yang telah disahkan, piawaian yang konsisten serta rekod fakta yang lengkap.

 

Dalam kenyataan sama, Yan Cheng turut mempersoalkan sama ada kenyataan awam yang dikaitkan dengan Datuk Sheah Kok Fah benar-benar selaras dengan matlamat untuk melindungi PRG, khususnya apabila kenyataan berkenaan menyumbang kepada naratif yang menyerang beliau dan ahli keluarganya secara peribadi walaupun beliau merupakan antara penyokong kewangan utama syarikat.

 

"Tumpuan sepatutnya diberikan kepada fakta, usaha pemulihan syarikat dan kepentingan semua pemegang saham, bukannya dakwaan yang bersifat peribadi," katanya.

 

Yan Cheng menegaskan sebarang semakan bebas hendaklah dilaksanakan secara adil, konsisten dan dikenakan sama rata terhadap tindakan, tanggungjawab serta keputusan semua pihak yang berkaitan.

 

"Tidak boleh bersifat terpilih. Tiada sesiapa yang sepatutnya dikecualikan daripada penelitian, termasuk saya. Jika tadbir urus menjadi isu, setiap keputusan dan tanggungjawab yang berkaitan perlu dinilai menggunakan piawaian pembuktian yang sama," katanya. - DagangNews.com