KUALA LUMPUR 22 Julai - Aberdeen Group plc yang berpangkalan di United Kingdom muncul sebagai pemegang saham utama MTT Shipping and Logistics Berhad selepas unit pengurusan pelaburannya di Malaysia memperoleh pegangan sebanyak 5.08% dalam syarikat itu.
Dalam makluman di Bursa Malaysia, MTT Shipping and Logistics menyatakan abrdn Malaysia Sdn. Bhd. membeli 126.86 juta saham MTT Shipping pada 20 Julai lalu, yang mewakili kepentingan langsung sebanyak 5.075%.
Pemakluman berasingan di Bursa Malaysia turut menunjukkan Aberdeen Group plc dan abrdn Holdings Ltd masing-masing mempunyai kepentingan dianggap (deemed interest) ke atas blok saham yang sama menerusi pegangan abrdn Malaysia.
Aberdeen telah bertapak di Malaysia sejak dekad 1980-an dan dikenali sebagai antara pelabur institusi asing yang aktif melabur dalam syarikat tempatan yang mempunyai asas kukuh serta rekod pembayaran dividen yang konsisten.
Menerusi abrdn Malaysia Sdn. Bhd., kumpulan itu mengamalkan strategi pemilihan saham secara bottom-up, dengan memberi tumpuan kepada syarikat berkualiti tinggi berdasarkan prestasi asas perniagaan, berbanding membuat pelaburan berasaskan sentimen atau pergerakan pasaran jangka pendek.

Aberdeen terus tambah pegangan di Malaysia
Pemerolehan saham dalam MTT Shipping merupakan antara langkah terbaharu Aberdeen memperkukuh pendedahannya di Malaysia.
Pada Mac 2025, pengurus dana berpangkalan di United Kingdom itu turut memperoleh pegangan sebanyak 5.05% atau 125.66 juta saham dalam Eastern & Oriental Bhd (E&O), sekali gus muncul sebagai pemegang saham utama syarikat pemaju hartanah yang berpangkalan di Pulau Pinang itu.
Menurut data pegangan saham Bursa Malaysia, pelabur individu secara kolektif memiliki 53.10% kepentingan dalam MTT Shipping, manakala pemegang saham korporat menguasai 21.44%.
Pengerusi Eksekutif MTT Shipping, Datuk Seri Ong Kean Lee, kekal sebagai pemegang saham terbesar syarikat dengan pegangan sebanyak 22.39%, bersamaan 559.67 juta saham.
Beliau diikuti Malaysia Trade and Transport Company Sdn. Bhd., yang memiliki 14.66% kepentingan atau bersamaan 366.40 juta saham.
Sementara itu, saham MTT Shipping tidak berubah pada 96.5 sen ketika dagangan tengah hari, sekali gus memberikan syarikat itu nilai pasaran sebanyak RM2.41 bilion. - DagangNews.com








