KUALA LUMPUR 22 Julai - Bursa Malaysia menggantung dagangan saham Ahmad Zaki Resources Bhd (AZRB) selama sejam pagi ini bagi memberi ruang kepada pelabur menilai pendedahan syarikat berhubung petisyen gulung tikar yang difailkan terhadap satu anak syarikat milik penuhnya.
Dagangan sekuriti AZRB digantung dari pukul 9 pagi hingga 10 pagi hari ini susulan pengumuman syarikat pada Selasa bahawa anak syarikat milik penuhnya, Ahmad Zaki Sdn. Bhd. (AZSB), telah menerima petisyen gulung tikar daripada Tycotech Aluminium Sdn. Bhd.
Lembaga Pengarah AZRB menjelaskan, kelewatan membuat pengumuman kepada Bursa Malaysia adalah kerana syarikat pada setiap masa terlibat dalam rundingan secara tulen dan dengan niat baik bersama Tycotech Aluminium bagi mencapai penyelesaian secara baik terhadap pertikaian tersebut.
Menurut AZRB, petisyen itu difailkan di Mahkamah Tinggi Malaya pada 18 Jun 2026 dan diserahkan kepada AZSB pada 25 Jun 2026.
Petisyen tersebut berpunca daripada dakwaan tunggakan bayaran berjumlah RM890,000 bagi kerja-kerja aluminium yang dilaksanakan oleh Tycotech Aluminium untuk pembinaan Blok 11 dan 12 Bangunan Akademik Fakulti Geosains dan Kejuruteraan Petroleum serta pencawang TNB 33kV di Universiti Teknologi Petronas (UTP), Bandar Seri Iskandar, Perak.
Menurut pihak pemohon, AZSB gagal menjelaskan baki bayaran berkenaan sehingga mendorong tindakan petisyen gulung tikar diambil.
Bukan anak syarikat utama
Bagaimanapun, AZRB menjelaskan AZSB bukan merupakan anak syarikat utama kumpulan dan petisyen tersebut dijangka tidak memberi kesan material terhadap kedudukan kewangan atau operasi kumpulan.
Syarikat itu berkata, selain yuran guaman dan perbelanjaan berkaitan, ia tidak menjangkakan sebarang kerugian besar akan timbul daripada tindakan undang-undang berkenaan.
Jumlah kos pelaburan AZRB dalam AZSB adalah sebanyak RM165.3 juta. - DagangNews.com








