Hasil UWC meningkat 35% kepada RM120.8 juta pada 1QFY2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hasil UWC meningkat 35% kepada RM120.8 juta pada 1QFY2026

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 16 Dis – UWC Berhad mencatatkan prestasi kukuh bagi suku pertama berakhir 31 Oktober 2025 (1QFY2026)  dengan hasil meningkat 35.1 % kepada RM120.8 juta berbanding RM89.4 juta pada tempoh sama tahun lalu.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, UWC berkata, peningkatan ini didorong oleh pertumbuhan pesanan daripada industri semikonduktor serta sumbangan hasil daripada anak syarikat yang diperoleh baru-baru ini.

 

“Keuntungan sebelum cukai bagi suku berkenaan meningkat kepada RM23.3 juta berbanding RM8.4 juta pada suku pertama tahun sebelumnya, sejajar dengan pertumbuhan hasil.

 

“Keuntungan bersih yang boleh diagihkan kepada pemegang saham meningkat kepada RM17.1 juta berbanding RM6.5 juta pada tempoh sama tahun lalu,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Jumlah aset syarikat setakat 31 Oktober 2025 adalah RM661.0 juta, meningkat daripada RM637.2 juta pada 31 Julai 2025. 

 

Liabiliti keseluruhan meningkat kepada RM151.8 juta, manakala ekuiti pemegang saham berjumlah RM492.2 juta.

 

Daripada segi aliran tunai, UWC menjana RM15.3 juta daripada aktiviti operasi, namun membelanjakan RM18.2 juta untuk aktiviti pelaburan termasuk pembelian harta, loji dan peralatan, manakala aktiviti pembiayaan menghasilkan RM18.3 juta tunai bersih.

 

Kesannya, baki tunai dan setara tunai syarikat meningkat kepada RM41.3 juta berbanding RM26.5 juta pada awal suku.

 

UWC tidak mengisytiharkan dividen bagi tempoh kewangan ini. 

 

Syarikat berkata, prestasi suku pertama mencerminkan pemulihan industri semikonduktor serta permintaan yang meningkat terhadap peralatan canggih untuk pembuatan cip dan aplikasi kecerdasan buatan.

 

Mengenai prospek, UWC mengekalkan pandangan optimis terhadap perniagaan dan industri yang diceburi, dengan tumpuan kepada memulakan projek baharu, memperoleh pelanggan baharu dan melaksanakan pelan pertumbuhan jangka panjang.

 

Syarikat juga terus memperluas kapasiti pengeluaran, termasuk projek bilik bersih untuk menyokong operasi perniagaan semikonduktor front-end serta pembangunan peralatan bagi pengeluaran cip AI.

 

Syarikat percaya langkah ini akan meletakkan UWC pada kedudukan kukuh untuk pertumbuhan yang mampan dan penciptaan nilai jangka panjang bagi industri semikonduktor dan teknologi tinggi di Malaysia. - DagangNews.com