Penganalisis unjur harga jualan lemah disebabkan lebihan bekalan kekang prospek Hartalega | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penganalisis unjur harga jualan lemah disebabkan lebihan bekalan kekang prospek Hartalega

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 11 Feb — Tekanan berterusan terhadap harga jualan purata (ASP) akibat lebihan bekalan sarung tangan global kekal sebagai isu kritikal utama mengekang prospek Hartalega Holdings Berhad.


Dua firma penyelidikan tempatan, situasi berkenaan perlu ditangani walaupun inisiatif penjimatan kos dan kecekapan operasi mula menunjukkan hasil ketara terhadap hala tuju saham syarikat tersebut.


Public Investment Bank berkata, kumpulan itu mencatat keuntungan bersih RM31.7 juta bagi 3QFY26, meningkat kira-kira 63% tahun ke tahun (YoY), dipacu langkah pengoptimuman kos yang agresif.


"Bagaimanapun keputusan tempoh itu di bawah ramalan kami, hanya merangkumi sebanyak 65% unjuran setahun penuh, meskipun masih lagi melepasi jangkaan pasaran," katanya dalam nota kajian hari ini.


Firma itu menyifatkan perbezaan ini berpunca daripada ASP sarung tangan yang lebih rendah daripada anggaran serta pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) terus menekan pendapatan.


Tambah PublicInvest, hasil Hartalega pada 3QFY26 merosot 2.3% suku ke suku (QoQ) susulan penurunan ASP campuran kepada hanya RM85 bagi setiap 1,000 keping, berbanding sebanyak RM90 pada 2QFY26. 


Dari segi YoY, pendapatan kumpulan itu merudum kira-kira 29% disebabkan penurunan volum jualan dan persaingan harga yang sengit daripada banyak pengeluar China, khususnya di pasaran bukan AS.


"Walaupun margin keuntungan operasi meningkat kepada 6.9% susulan penjimatan kos, kami masih kekal berhati-hati terhadap prospek jangka sederhana kumpulan itu," kata firma penyelidikan tersebut.


Artikel berkaitan: Hartalega catat keuntungan bersih RM31.7 juta pada suku ketiga FY26


Justeru, PublicInvest menurunkan unjuran hasil Hartalega bagi FY26 sebanyak 30% dan mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran (TP) 98 sen, bersandarkan penilaian 0.76 kali nilai buku sesaham.


Sebaliknya, Maybank IB melihat prestasi 3QFY26 sebagai lebih positif daripada jangkaan, apabila keuntungan teras RM44.1 juta, naik 60% YoY, mengatasi anggaran firma itu dan konsensus pasaran.


Firma berkenaan menekankan isu disiplin kos, teknologi automasi dan kecekapan pengeluaran berjaya mengurangkan impak negatif pengukuhan ringgit dan ASP yang lemah ke atas pendapatan kumpulan itu.


"Oleh itu, kami menaikkan unjuran hasil FY26 hingga FY28 antara 99% hingga 143%, dengan andaian kadar penggunaan kapasiti lebih tinggi, kos bahan mentah dan kadar cukai efektif rendah," katanya.


Maybank IB namun tetap berhati-hati terhadap potensi penilaian semula saham Hartalega, memandangkan lebihan kapasiti global dan risiko mata wang masih menekan sentimen sektor sarung tangan getah.


Sehubungan itu, ia menurunkan TP kepada RM1.07, tetapi menaik taraf saranan kepada ‘beli’ daripada ‘pegang’, dengan pandangan kelemahan harga saham kebelakangan ini banyak mengambil kira risiko.


Ia turut menekankan peranan Loji 9 sebagai pemacu kecekapan utama, dengan model operasi bakal digunakan semula di loji lain, disokong perbelanjaan modal RM285 juta dalam dua tahun akan datang.


Secara keseluruhan, kedua-dua firma penyelidikan sependapat bahawa kecekapan operasi Hartalega semakin bertambah baik, walaupun berbeza pandangan dari segi penilaian saham. - DagangNews.com