Hartalega catat keuntungan bersih RM31.7 juta pada suku ketiga FY2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hartalega catat keuntungan bersih RM31.7 juta pada suku ketiga FY2026

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 10 Feb – Hartalega Holdings Berhad mencatatkan keuntungan bersih RM31.67 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Disember 2025, meningkat 64.1% berbanding RM19.30 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya, meskipun berdepan penyusutan hasil akibat tekanan harga dan kadar tukaran asing.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Hartalega berkata hasil kumpulan susut 28.6% kepada RM527.25 juta daripada RM738.19 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2025, didorong oleh penurunan volum jualan dan kesan pengukuhan ringgit berbanding dolar AS.

 

“Keuntungan operasi bagaimanapun meningkat sedikit kepada RM36.30 juta berbanding RM35.69 juta sebelum ini, disokong oleh inisiatif pengoptimuman kos dan kecekapan operasi yang berterusan, sekali gus membantu mengimbangi tekanan daripada persekitaran pasaran yang mencabar.

 

“Keuntungan sebelum cukai bagi suku ketiga FY2026 menurun kepada RM28.91 juta berbanding RM36.62 juta setahun lalu, terutamanya disebabkan hasil yang lebih rendah serta pergerakan pertukaran asing yang tidak memihak kepada Kumpulan,” kata Hartalega dalam makluman tersebut.

 

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Disember 2025, Hartalega merekodkan hasil RM1.62 bilion, turun 17.9% berbanding RM1.97 bilion dalam tempoh sama tahun sebelumnya, mencerminkan permintaan yang lebih sederhana dan impak kadar pertukaran mata wang.

 

Kumpulan itu berkata walaupun hasil lebih rendah, keuntungan operasi bagi tempoh sembilan bulan meningkat 32.5% kepada RM57.74 juta, disokong oleh kadar penggunaan loji yang lebih tinggi, peningkatan automasi serta pengurusan kos yang lebih berdisiplin.

 

“Keuntungan bersih bagi tempoh sembilan bulan pula berjumlah RM61.90 juta, meningkat sedikit 3.5% berbanding RM59.80 juta sebelum ini, manakala keuntungan yang boleh diagihkan kepada pemegang saham meningkat kepada RM62.55 juta.

 

“Dari segi kedudukan kewangan, jumlah aset kumpulan meningkat kepada RM4.80 bilion setakat 31 Disember 2025 berbanding RM4.74 bilion pada 31 Mac 2025, disokong oleh peningkatan pegangan tunai dan pelaburan jangka pendek kepada RM1.06 bilion,” katanya.

 

Ekuiti kumpulan turut mengukuh kepada RM4.39 bilion dengan nilai aset bersih sesaham meningkat kepada RM1.29 berbanding RM1.26 sebelumnya, mencerminkan kedudukan kunci kira-kira yang kukuh dengan tahap keberhutangan yang rendah.

 

Aliran tunai daripada aktiviti operasi kembali positif dengan penjanaan bersih RM210.46 juta bagi tempoh sembilan bulan, berbanding aliran keluar RM55.17 juta dalam tempoh sama tahun lalu, didorong oleh pengurusan modal kerja yang lebih baik.

 

Mengulas prospek, kumpulan kekal berhati-hati terhadap keadaan pasaran sarung tangan global dalam jangka terdekat berikutan lebihan kapasiti industri dan persaingan harga yang sengit, khususnya daripada pengeluar China di pasaran bukan AS.

 

Bagaimanapun, Hartalega optimis terhadap prospek jangka panjang industri disokong oleh kesedaran kebersihan yang kekal tinggi, pertumbuhan akses penjagaan kesihatan di pasaran sedang pesat membangun serta komitmen kumpulan terhadap automasi, kecekapan kos dan amalan ESG bagi menyokong daya saing dan kemampanan perniagaan. - DagangNews.com