KUALA LUMPUR 20 Feb - Komitmen pelaburan besar sehingga RM160 juta bagi projek perluasan Aeon Mall Kinta City di Ipoh, Perak menjadi isu kritikal ke atas KIP Real Estate Investment Trust (KIP REIT).
Bagaimanapun TA Securities melihat langkah kumpulan amanah pelaburan hartanah (REIT) itu mampu meningkatkan keterlihatan pendapatan jangka panjang serta mengukuhkan daya tahan portfolio.
KIP REIT katanya, memeterai perjanjian dengan Aeon Co (M) Berhad bagi melaksanakan inisiatif peningkatan aset (AEI) utama dengan tambahan kira-kira 20,996 meter persegi keluasan lantai kasar (GFA).
"Apabila siap, premis ini akan menambah 13,470 meter persegi keluasan boleh sewa bersih (NLA), selain sejumlah 229 petak parkir kereta baharu," jelas firma penyelidikan tersebut dalam nota terkininya.
Kos pembangunan katanya, dihadkan mewakili 10.1% daripada nilai aset keseluruhan KIP REIT setakat Jun 2025, dan dijangka mengambil masa 17 bulan dengan sasaran siap menjelang suku keempat 2027.
Ujar TA Securities, selepas projek siap, jumlah GFA pusat beli-belah tersebut meningkat 27% kepada kira-kira 62,709 meter persegi, manakala NLA berkembang 30% kepada sekitar 53,884 meter persegi.
Ruang tambahan itu jelas firma tersebut, akan disewa kepada Aeon pada kadar sewaan tahunan hanya 8% daripada kos pembangunan sebenar, bersamaan anggaran hasil sewaan kasar RM12.8 juta setahun.
"Lebih penting, Aeon akan melanjutkan tempoh penyewaan melepasi tarikh tamat pajakan semasa pada September 2030 melalui tempoh awal 15 tahun dengan opsyen lanjutan selama 10 tahun lagi," katanya.
Perkembangan positif itu ujar TA Securities, secara efektif menjamin Aeon sebagai penyewa utama kompleks tersebut sehingga 2055, sekali gus meningkatkan keterlihatan aliran tunai jangka panjang.
Firma itu berpandangan peluasan berkenaan menawarkan risiko penyewaan rendah, disokong struktur pajakan jangka panjang, dan pulangan kontrak 8% ke atas kos pembangunan juga melebihi sasaran.
Selain itu, pelaburan tersebut mengatasi kos pembiayaan, dan menyokong pertambahan hasil selepas projek siap, manakala dari segi impak kewangan, firma itu menjangka nilai aset berpotensi naik.
"Kami menganggarkan ia berupaya meningkat 9.6% kepada RM1.83 bilion, menghampiri sasaran aset di bawah pengurusan (AUM) KIP REIT iaitu RM2.0 bilion menjelang akhir 2027," kata TA Securities.
Struktur kunci kira-kira pula kekal terkawal dengan nisbah gear semasa sekitar 39%, berbanding had dalaman 45%, dan memberi ruang RM200 juta untuk pemerolehan tanpa perlu terbitan ekuiti baharu.
Berdasarkan andaian kos pembangunan dibiayai melalui hutang pada kadar 4.5% dan margin pendapatan operasi bersih (NPI) 95%, peluasan itu dijangka menyumbang kira-kira RM12.2 juta NPI setahun.
Justeru kata TA Securities, setelah mengambil kira perbelanjaan faedah sekitar RM7.2 juta setahun, sumbangan hasil tambahan kepada KIP REIT dianggarkan mampu mencecah sekitar RM5 juta setahun.
"Secara tahunan penuh, unjuran pendapatan FY28 berpotensi naik 6.3%, namun, memandangkan sasaran siap pada 4QFY27, kami mengunjurkan hanya sumbangan separuh tahun dalam FY28," katanya.
Sehubungan itu, firma penyelidikan berkenaan mengekalkan saranan ‘beli’ terhadap KIP REIT dengan harga sasaran tidak berubah RM1.12 seunit, berdasarkan hasil sasaran tahun kalendar 2026. - DagangNews.com








