KUALA LUMPUR 12 Feb – Mayu Global Group Bhd memaklumkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menamatkan siasatan terhadap Sunrise Manner Sdn Bhd (SMSB), anak syarikat milik 80% kumpulan itu dan mengeluarkan notis kompaun berjumlah RM24 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata kompaun berkenaan dikenakan di bawah Seksyen 92(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).
Menurut Mayu Global, kompaun tersebut akan diselesaikan dalam dua peringkat, iaitu RM10 juta yang telah dibayar pada 26 Januari 2026 dan baki RM14 juta yang perlu dijelaskan pada atau sebelum 31 Mac 2026.
Kumpulan itu menjelaskan bahawa setelah kompaun berkenaan diselesaikan sepenuhnya, semua harta milik SMSB yang sebelum ini disita akan dipulangkan.
Lembaga pengarah Mayu Global menegaskan bahawa penyelesaian kompaun itu dibuat sebagai satu resolusi kawal selia pentadbiran bagi menggantikan pendakwaan atau prosiding mahkamah, dan tidak merupakan sebarang pengakuan bersalah, liabiliti atau salah laku.
ARTIKEL BERKAITAN: SPRM tidak nyatakan dakwaan khusus, kata Mayu Global kepada Bursa Malaysia
Keputusan tersebut, menurut kumpulan itu, diambil secara pragmatik bagi mencapai penyelesaian muktamad, menghapuskan ketidaktentuan serta membolehkan kumpulan memberi tumpuan sepenuhnya kepada operasi teras.
Tiada prosiding mahkamah dimulakan dan tiada dapatan salah laku dibuat terhadap kumpulan atau para pengarahnya.
Mayu Global turut menegaskan komitmennya untuk mengekalkan tahap tadbir urus korporat, kawalan dalaman dan pematuhan undang-undang yang tinggi, selain akan terus menambah baik rangka kerja pematuhan sekiranya perlu.
Dari segi kewangan dan operasi, lembaga pengarah berpandangan bahawa penyelesaian kompaun tersebut tidak akan memberi kesan kewangan material kepada syarikat bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026.
Kumpulan itu juga telah mengambil langkah segera untuk memperkukuh kawalan dalaman, rangka kerja pematuhan serta amalan tadbir urus korporat bagi mengelakkan kejadian sama berulang pada masa hadapan. - DagangNews.com








