SPRM tidak nyatakan dakwaan khusus, kata Mayu Global kepada Bursa Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SPRM tidak nyatakan dakwaan khusus, kata Mayu Global kepada Bursa Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Okt - Syarikat pengeluar produk keluli, Mayu Global Berhad mengeluarkan penjelasan berhubung siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Tang Tiam Hok serta tindakan pembekuan akaun bank anak syarikatnya, Sunrise Manner Sdn Bhd (SMSB).

 

Kumpulan itu dalam satu makluman bagi menjawab pertanyaan Bursa Malaysia berkata, notis yang diterima tidak menyatakan sebarang sebab bagi tindakan SPRM, dan setakat ini, latar belakang atau dakwaan khusus masih belum jelas.

 

Syarikat turut mengesahkan, SMSB bukan merupakan subsidiari utama seperti yang ditakrifkan di bawah Perenggan 1.01 Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia.

 

Mengulas mengenai perintah pembekuan akaun, Mayu Global sedang mendapatkan nasihat guaman daripada peguam dilantik dan akan mengambil semua langkah perlu bagi melindungi kepentingan syarikat serta pemegang saham selain memastikan kesinambungan operasi perniagaan.

 

Kumpulan itu turut memberikan perkembangan mengenai audit dalaman SMSB yang dijalankan oleh Baker Tilly MH (Penang) Sdn Bhd, seperti yang diumumkan pada 24 April 2025. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: SPRM siasat Sunrise Manner, akaun bank Mayu Global dibekukan

 

Audit tersebut merangkumi tempoh 1 Julai 2018 hingga 30 Jun 2023, dengan fokus terhadap polisi dan prosedur, pelaksanaan perjanjian kontrak, serta kawalan pembiayaan dan perbelanjaan.

 

Pengurusan Mayu Global mengambil maklum dapatan tersebut dan komited untuk melaksanakan penambahbaikan segera, termasuk memperhalusi polisi dalaman, memperkukuh mekanisme pemantauan, serta memastikan penjajaran yang lebih kukuh dengan amalan tadbir urus korporat terbaik.

 

“Hasil audit dalaman menunjukkan beberapa kelemahan dalam tadbir urus, kawalan kewangan, dan pematuhan peraturan. 

 

"Tindakan pemulihan segera diperlukan bagi melindungi integriti kewangan syarikat serta meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti,” katanya.

 

Kumpulan itu menegaskan pihaknya kekal komited memperkukuh kawalan dalaman dan rangka kerja tadbir urus korporat selaras dengan siasatan dan langkah pemulihan yang sedang dijalankan.- DagangNews.com