KUALA LUMPUR 29 Sept – Syarikat pengeluar produk keluli, Mayu Global Bhd mengesahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memanggil seorang pengarah subsidiarinya, Sunrise Manner Sdn Bhd (SMSB) yang dimiliki 80%, bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, pengarah SMSB, Tang Tiam Hok telah dipanggil SPRM pada 19 dan 23 Sept 2025 untuk membantu siasatan di bawah Akta SPRM 2009.
“Setakat ini, lembaga pengarah dimaklumkan bahawa tiada sebarang pertuduhan difailkan terhadap Tang.
“Syarikat akan terus memantau situasi ini dengan teliti dan akan membuat pengumuman lanjut sekiranya terdapat perkembangan material,” kata Mayu.
Mayu menambah, SPRM juga telah mengeluarkan perintah pembekuan terhadap akaun bank SMSB di bawah Seksyen 44 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
Perintah tersebut, yang diserahkan pada 23 Sept, melibatkan akaun yang dipegang di Maybank Islamic Bhd dan CIMB Bank Bhd, dengan tempoh sah selama 90 hari dari tarikh dikeluarkan.
“Hasil daripada penilaian menyeluruh terhadap kedudukan kewangan kumpulan, unjuran aliran tunai untuk 12 bulan akan datang, serta ketersediaan kemudahan sewa beli (tiada kemudahan kredit lain), pembekuan akaun bank berkenaan dijangka tidak memberi kesan material dari segi kewangan atau operasi kepada Kumpulan Mayu,” jelas syarikat itu. - DagangNews.com








