KUALA LUMPUR 23 Jun - Pan Merchant Bhd, yang akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 26 Jun ini, merancang untuk meluaskan operasinya ke pasaran antarabangsa dalam sektor berpotensi seperti bahan api lestari, rawatan air dan perlombongan.
Pengarah Eksekutifnya, Wong Voon Yoong berkata, walaupun industri minyak makan masih menjadi penyumbang utama pendapatan, syarikat kini memberi lebih tumpuan kepada sektor rawatan air dan perlombongan yang dijangka mampu memberi pulangan lebih tinggi.
"Syarikat kini memberi tumpuan kepada operasi rawatan air. Banyak projek sedang berjalan di dalam dan luar negara dan nilai kontraknya juga besar," katanya kepada StarBiz.
Tahun lalu, hampir 90% hasil Pan Merchant datang daripada segmen minyak makan.
Dalam sektor air, penapis keluaran syarikat digunakan untuk menapis kekotoran dalam air bersih sebelum dirawat menjadi air minuman, serta untuk menapis lumpur daripada air buangan sebelum diguna semula atau dibuang dengan selamat.
Voon Yoong turut melihat sektor perlombongan sebagai bidang pertumbuhan penting memandangkan saiz pasarannya yang jauh lebih besar.
"Minyak makan hanya mewakili kira-kira 5.8% daripada pasaran penapisan global, manakala sektor perlombongan pula sekitar 22%, iaitu tiga kali lebih besar," jelasnya.
Beliau berkata, Pan Merchant telah terlibat dalam kerja perlombongan berskala kecil seperti pemprosesan tanah liat sejak 10 hingga 20 tahun lalu dan kini bersedia untuk berkembang lebih jauh dalam sektor berkenaan.
Sementara itu, seorang lagi Pengarah Eksekutif, Wong Nyeon Thiat memaklumkan, Pan Merchant kini hanya menguasai 0.5% pasaran global dan menyasarkan peningkatan kepada 2% hingga 3% dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.
Bagi mencapai sasaran itu, syarikat merancang mengumpul RM67.6 juta melalui tawaran awam permulaan (IPO), melibatkan terbitan 232.19 juta saham baharu pada harga 27 sen sesaham.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM62.7 juta akan digunakan oleh syarikat, manakala RM4.9 juta akan diterima oleh pemegang saham utama, Budhi Sentoso Rachmat, yang akan menjual 18 juta saham sedia ada melalui penempatan persendirian.
Antara rancangan utama termasuk membangunkan penapis khas untuk industri perlombongan menjelang akhir tahun depan, serta membina peralatan tambahan seperti penebal kelodak, sistem pelepasan sisa dan penapis modular bagi memudahkan penghantaran ke luar negara.
Syarikat juga akan menghasilkan alat ganti sendiri bagi memastikan kawalan reka bentuk lebih baik, menubuhkan pusat ujian bergerak dan mengambil dua jurutera pakar dalam bidang perlombongan.
Sebanyak RM28 juta pula akan digunakan untuk perbelanjaan modal, termasuk pembelian mesin dan peralatan baharu serta menaik taraf tiga kilangnya di Ipoh, Perak iaitu Jelapang Plant 1, Jelapang Plant 2 dan Lahat Plant.
Produk syarikat kini dieksport ke Asia, Eropah, Amerika dan Afrika.
Pan Merchant juga merancang menambah barisan pengeluaran penapis daun di kilang Jelapang 1 dan memasang mesin automatik baharu untuk meningkatkan kualiti produk, mengurangkan penggunaan tenaga kerja dan kebergantungan kepada pihak luar.
Selain itu, syarikat akan menambah satu lagi barisan pengeluaran penapis daun di pejabatnya di Belanda sebagai sebahagian daripada rancangan pengembangan bernilai RM6 juta.
Pengarah Urusan, Wong Voon Ten berkata, penambahan barisan pengeluaran penting kerana penapis daun perlu diganti secara berkala dan dapat menjana pendapatan berulang kepada syarikat.
Katanya, jualan penapis meningkat setiap tahun, menyebabkan permintaan semakin tinggi.
"Dengan barisan baharu ini, kami dapat memenuhi permintaan dengan lebih cepat, terutama bagi pesanan penggantian segera," ujarnya.
Pan Merchant juga merancang untuk meningkatkan automasi dalam proses pengeluaran yang kini masih 80% bergantung kepada kerja manual.
Syarikat menyasarkan untuk mengurangkan kebergantungan itu kepada sekitar 30% hingga 40% melalui pelaburan dalam mesin dan teknologi baharu.
Baki hasil IPO akan digunakan untuk modal kerja sebanyak RM14.69 juta dan kos penyenaraian yang dianggarkan RM7 juta.
Affin Hwang Investment Bank Bhd bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan bagi IPO berkenaan. - DagangNews.com








