Nestle Malaysia berdepan tekanan kos operasi dan isu penilaian saham pada 4QFY25, kata penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Nestle Malaysia berdepan tekanan kos operasi dan isu penilaian saham pada 4QFY25, kata penganalisis

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 26 Feb – Prestasi 4QFY25 Nestlé Malaysia Berhad mencetuskan pandangan berbeza dalam kalangan penganalisis apabila tekanan kos operasi dan isu penilaian saham menjadi faktor utama.


Justeru, dua firma penyelidikan mengekalkan pendirian berbeza terhadap saham syarikat makanan dan minuman itu selepas keputusan terkini diumumkan semalam, meskipun pemulihan jualan semakin kukuh.


Maybank Investment Bank mengekalkan saranan ‘beli’ namun menurunkan harga sasaran (TP) kepada RM120.00 selepas menyemak turun unjuran pendapatan FY26 hingga FY27 sebanyak 2% hingga 8%.


"Keuntungan bersih teras 4QFY25 sebanyak RM111 juta naik 233% tahun ke tahun (YoY) tetapi merosot 10% suku ke suku (QoQ), menjadikan keuntungan bersih teras FY25 berjumlah RM530 juta," katanya.


Situasi berkenaan mewakili 93% daripada jangkaan firma tersebut, dan masalah kekurangan berbanding unjuran adalah disebabkan perbelanjaan operasi yang lebih tinggi daripada jangkaan sebelum itu.


Bagaimanapun, Maybank IB melihat prospek kekal positif dengan pemulihan jualan ke paras sebelum isu boikot, disokong perbelanjaan perayaan dan agihan tambahan bantuan tunai SARA pada 1QFY26.


Margin kasar turut berkembang 4.5 mata peratusan YoY susulan penambahbaikan produk dan pelarasan harga, manakala tekanan dijangka reda berikutan pengukuhan ringgit dan kos bahan mentah stabil.

 

Artikel berkaitan: Jualan Nestle Malaysia meningkat 10.5% kepada RM6.88 bilion pada FY25, umum dividen 90 sen

 

"Kami juga mengambil maklum rundingan pelupusan perniagaan aiskrim kepada Froneri, usaha sama antara Nestlé SA dan PAI Partners, yang dianggarkan menyumbang 6% kepada hasil FY25," jelasnya.


Sementara itu, MBSB Research masih mengekalkan saranan ‘jual’ ke atas Nestle Malaysia namun dengan TP sesaham yang lebih tinggi sedikit kepada RM95.70 berbanding kira-kira RM94.50 sebelum ini.


Firma penyelidikan berkenaan menyifatkan keputusan pada 4QFY25 sebagai selaras dengan jangkaannya berikutan pendapatan kumpulan itu disokong pertumbuhan jualan domestik dan eksport yang kukuh.


Bagi FY25, Nestlé Malaysia mencatat pendapatan RM6.88 bilion dan keuntungan bersih teras naik 27% kepada RM513 juta, dipacu disiplin kos dan kecekapan operasi termasuk inisiatif pendigitalan.


"Keuntungan QoQ namun menyusut berikutan perolehan kumpulan tersebut didapati lebih rendah serta perbelanjaan operasi dan kos komoditi yang masih tinggi," kata MBSB Research dalam notanya.


Ia berpandangan walaupun asas perniagaan kekal kukuh dengan kedudukan sebagai hab pembuatan Halal utama dalam kumpulan, penilaian semasa saham adalah agak tegang dan mengehadkan potensi kenaikan.


Secara keseluruhan, perbezaan saranan antara dua firma itu mencerminkan pendekatan berbeza ke atas risiko kos, margin dan tahap penilaian semasa saham selepas pemulihan kukuh FY25. - DagangNews.com