Jualan Nestlé Malaysia meningkat 10.5% kepada RM6.88 bilion pada FY25, umum dividen 90 sen | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jualan Nestlé Malaysia meningkat 10.5% kepada RM6.88 bilion pada FY25, umum dividen 90 sen

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 25 Feb – Nestlé Malaysia mencatat prestasi kewangan yang kukuh bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, dengan jumlah jualan sebanyak RM6.88 bilion, meningkat 10.5% berbanding RM6.22 bilion pada tahun sebelumnya.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Nestlé berkata pertumbuhan ini disokong oleh permintaan domestik yang stabil dan eksport yang mencerminkan daya saing global produk halal syarikat.

 

“Keuntungan sebelum cukai meningkat kepada RM700.4 juta daripada RM544.4 juta pada 2024, manakala keuntungan selepas cukai melonjak kepada RM513.0 juta, berbanding RM415.6 juta pada tahun sebelumnya. 

 

“Prestasi ini didorong oleh pengurusan kos yang cekap, pendigitalan operasi dan penggunaan AI untuk meningkatkan kecekapan serta kelajuan dalam membuat keputusan.

 

“Bagi suku keempat 2025, Nestlé Malaysia merekodkan jualan RM1.68 bilion, meningkat 14.2% berbanding RM1.47 bilion pada suku sama tahun sebelumnya. 

 

“Keuntungan sebelum cukai bagi suku terakhir adalah RM160.4 juta, manakala keuntungan selepas cukai RM125.5 juta, menunjukkan syarikat terus mengekalkan momentum positif walaupun menghadapi kos input yang lebih tinggi,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Syarikat telah mengumumkan dividen interim ketiga sebanyak RM0.90 sesaham bagi tahun kewangan 2025, meningkat 16 sen berbanding dividen interim ketiga pada 2024.

 

Ini mencerminkan komitmen Nestlé Malaysia dalam memastikan nilai pemegang saham terus dipelihara.

 

Dalam laporan kewangannya, jumlah aset syarikat pada 31 Disember 2025 dicatatkan sebanyak RM3.65 bilion, termasuk aset tetap bernilai RM1.75 bilion dan inventori RM901.8 juta. 

 

Ekuiti pemegang saham meningkat kepada RM576.6 juta, manakala jumlah liabiliti adalah RM3.07 bilion, termasuk pinjaman jangka pendek RM788.5 juta dan liabiliti sewa RM174 juta.

 

Aliran tunai operasi meningkat kepada RM1.03 bilion, manakala aliran tunai bersih daripada aktiviti pelaburan dan pembiayaan masing-masing mencatatkan penggunaan RM144.6 juta dan RM678.2 juta. 

 

Baki tunai akhir tahun adalah negatif RM32.4 juta akibat pembayaran dividen dan pengurusan hutang.

 

Nestlé Malaysia terus mengekalkan fokus kepada dua segmen utama, iaitu makanan dan minuman yang menyumbang 80% jualan dan produk lain termasuk Nestlé Professional, Nestlé Health Science dan NESPRESSO. 

 

Segmen makanan dan minuman mencatat keuntungan operasi RM596.4 juta bagi 2025, manakala segmen lain menyumbang RM167.1 juta.

 

Syarikat juga melabur dalam pembangunan aset, dengan perolehan aset tetap berjumlah RM152.3 juta sepanjang 2025. Projek pelaburan strategik termasuk pengembangan kapasiti pembuatan NESCAFÉ Espresso Concentrate di kilang Sri Muda, Shah Alam, yang menjadi pusat inovasi utama untuk Asia.

 

Ia berkata prestasi kukuh ini membuktikan peranan strategik Nestlé Malaysia sebagai hab pengeluaran Halal terbesar kumpulan Nestlé dan pusat inovasi produk, membolehkan syarikat mengekalkan kedudukan dalam pasaran domestik dan antarabangsa. 

 

Fokus kepada jenama teras, inovasi yang relevan, dan kecekapan operasi dijangka menyokong pertumbuhan jangka panjang pada 2026. - DagangNews.com