KUALA LUMPUR 24 Julai – MISC Berhad mula fokus pada landasan memanfaatkan prospek pertumbuhan jangka panjang sektor perkapalan tenaga walaupun berdepan isu ketidaktentuan geopolitik global.
Langkah itu mendorong RHB Research mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM9.71 sesaham, sebagai mencerminkan potensi kenaikan sekitar 22%, serta jangkaan pulangan dividen 5%.
Ujarnya, kumpulan itu menegaskan strategi syarikat kekal meskipun konflik luar meningkatkan turun naik pasaran, dengan semua keputusan pelaburan terus berasaskan asas permintaan jangka panjang.
"Pendekatan MISC mengekalkan 80% aset di bawah kontrak jangka panjang membolehkannya mengimbangi kestabilan pendapatan, di samping meraih manfaat jika kadar sewaan kapal naik," kata firma itu.
Pada masa sama jelas RHB Research, prospek segmen kapal tangki kekal apabila kadar sewaan dijangka berada pada paras tinggi berikutan peningkatan permintaan dan laluan penghantaran yang lebih jauh.
Perniagaan gas asli cecair (LNG) turut dinilai sebagai pemacu pertumbuhan utama dalam beberapa tahun lagi, disokong penyerahan 19 buah kapal baharu yang dijadualkan tiba secara berperingkat.

Menurutnya, sumbangan daripada segmen gas dijangka berkembang sehingga setanding perniagaan petroleum menjelang 2030, sekali gus mengukuhkan kepelbagaian sumber pendapatan MISC sendiri.
"Syarikat dijangka mengekalkan perbelanjaan modal (capex) AS$1 bilion (RM4.09 bilion) setahun hingga 2030 dan lebih berdisiplin memilih projek pelaburan bagi memastikan pulangan," kata RHB Research.
Selain itu, pengurusan kekal optimis terhadap prospek pasaran selepas 2030 dengan menilai peluang pertumbuhan dan kerjasama strategik berikutan penamatan penggabungan bersama Bumi Armada Berhad.
Dalam usaha mengukuhkan kedudukan kewangan, MISC meneroka langkah kitar semula modal melalui usaha penjanaan nilai aset luar pesisir, tertakluk kepada penilaian yang memenuhi sasaran nilai mampan.
RHB Research turut menjangkakan caj rosot nilai aset LNG bagi tahun kewangan 2026 lebih rendah, manakala komitmen dasar dividen yang konsisten dan progresif akan menyokong keyakinan pelabur.
"Justeru, kami terus mengekalkan unjuran pendapatan kumpulan berkenaan serta penilaian saham yang berasaskan kepada kaedah jumlah bahagian (SOP) tanpa ada sebarang perubahan," kata firma tersebut.
Ia berpandangan prospek MISC kekal positif walaupun syarikat masih berdepan risiko seperti peningkatan kos operasi kapal, penamatan kontrak dan perubahan peraturan industri global. - DagangNews.com








